Pinda Akta Pemberi Maklumat Elak Penjenayah Selindung Atas Nama Pemberi Maklumat

KUALA LUMPUR, 16 DIS 25 — Kerajaan akan membentangkan pindaan terhadap Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 di Dewan Rakyat tahun depan bagi menutup kelompongan undang-undang yang berpotensi disalahgunakan oleh perasuah dan penjenayah tegar.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pindaan itu bertujuan memperjelas perbezaan antara pemberi maklumat tulen dan individu yang cuba melindungi diri daripada tindakan undang-undang di sebalik status ‘whistleblower’.

“Pemberi maklumat perlu dibezakan dengan jelas daripada penyamun atau perasuah tegar yang cuba bersembunyi atas nama ‘whistleblower’. Ini dua perkara yang mesti dibezakan dengan jelas,” katanya di Dewan Negara hari ini.

Anwar berkata demikian menjawab soalan Senator Amir Md Ghazali berhubung usaha kerajaan memperkukuh integriti dan ketelusan dalam agensi penguatkuasaan, termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Anwar menegaskan prinsip “tiada siapa kebal di sisi undang-undang” akan terus ditegakkan tanpa kompromi, termasuk terhadap individu berpengaruh, sambil mengakui wujud kecenderungan sesetengah pihak membela perasuah yang membuat pendedahan selepas melakukan kesalahan.

Menurut beliau, perlindungan terhadap pemberi maklumat sebenar kekal terjamin, termasuk aspek keselamatan diri dan keluarga, bagi memastikan budaya berani melapor terus diperkasakan.

“Melindungi pemberi maklumat bukan sekadar tidak mengambil tindakan terhadap mereka, tetapi memastikan keselamatan mereka dan keluarga daripada ancaman penjenayah,” katanya.

Anwar berkata kementerian berkaitan sedang meneliti pindaan berkenaan dan kerajaan bersedia membentangkannya pada awal tahun depan bagi menetapkan definisi, kaedah dan mekanisme perlindungan yang lebih jelas. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts

Apa PN Mahu? Soal Penganalisis

"Bawa wajah yang rakyat mudah hadam, biar mereka faham apa agenda sebenar PN. Agenda pemerkasaan Melayu seperti payung besar. Muafakat nasional antara PAS, Umno, atau Bersatu atau bentuk gabungan mewakili semua kaum.
Read More
Total
0
Share