
KUALA LUMPUR | 22 Jun 26 – Perikatan Nasional (PN) bersetuju meluluskan permohonan dua parti politik untuk menyertai gabungan itu sebagai parti anggota baharu.
Perkara tersebut diumumkan Pengerusi Perikatan Nasional, Datuk Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi PN yang berlangsung hari ini.
Menurut beliau, mesyuarat telah bersetuju menerima penyertaan Parti Pejuang Tanahair (PEJUANG) dan Parti Cinta Malaysia (Wawasan Negara) ke dalam Perikatan Nasional.
“Mesyuarat bersetuju meluluskan permohonan dua parti politik untuk menjadi parti anggota Perikatan Nasional yang baharu iaitu Parti Pejuang Tanahair (PEJUANG) dan Parti Cinta Malaysia (PCM),” katanya dalam satu kenyataan media.
Dalam perkembangan berkaitan, mesyuarat turut memberi tumpuan kepada persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang dijangka diadakan dalam masa terdekat.
Mesyuarat bersetuju supaya proses pemuktamadan agihan kerusi diselesaikan segera melalui Jawatankuasa Rundingan Kerusi bagi memastikan persediaan pilihan raya berjalan lancar.
“Mesyuarat bersetuju untuk memuktamadkan agihan kerusi melalui Jawatankuasa Rundingan Kerusi dalam tempoh segera,” menurut kenyataan itu.
Keputusan menerima PEJUANG dan PCM dilihat sebagai langkah memperkukuh kedudukan PN dengan memperluaskan kerjasama politik dalam kalangan parti pembangkang menjelang beberapa siri pilihan raya yang bakal berlangsung. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.