Wawasan Negara Kedah Sambut Baik Keputusan PN, Sedia Perkukuh Blok Pembangkang

ALOR SETAR | 23 Jun 26 – Parti Wawasan Negara (Wawasan) Negeri Kedah menyambut baik keputusan Perikatan Nasional (PN) meluluskan penyertaan Parti Cinta Malaysia (PCM), yang kini dikenali sebagai Parti Wawasan Negara, sebagai parti anggota baharu gabungan itu.

Wakil Parti Wawasan Negara Negeri Kedah, YB Abdul Razak Khamis, berkata pihaknya merakamkan penghargaan kepada kepimpinan PN atas kepercayaan yang diberikan kepada parti tersebut untuk bersama-sama memperkukuhkan gabungan pembangkang.

Menurut beliau, keputusan yang diumumkan oleh Pengerusi PN, Datuk Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, membuktikan komitmen gabungan itu untuk terus memperluaskan kerjasama politik serta memperkukuhkan kesatuan dalam kalangan parti-parti yang berkongsi aspirasi perjuangan yang sama.

“Kemasukan Parti Wawasan Negara ke dalam Perikatan Nasional bukan sekadar penambahan sebuah parti komponen, tetapi merupakan satu langkah strategik ke arah memperkukuhkan perjuangan bersama dalam membela nasib rakyat serta menawarkan alternatif yang lebih baik kepada negara,” katanya dalam satu kenyataan media.

Abdul Razak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tiang berkata, dalam keadaan rakyat berdepan peningkatan kos sara hidup, ketidaktentuan ekonomi dan pelbagai cabaran semasa, penyatuan kekuatan politik yang berteraskan kepentingan rakyat amat diperlukan.

Beliau turut berpandangan bahawa semangat kebersamaan yang ditunjukkan oleh kepimpinan PN mampu membuka lembaran baharu dalam usaha memperkukuhkan perpaduan dalam kalangan parti-parti pembangkang.

“Langkah ini memberi isyarat bahawa PN terus berkembang sebagai sebuah gabungan yang inklusif, matang dan bersedia menghadapi cabaran politik masa hadapan,” katanya.

Menurut beliau, Parti Wawasan Negara berharap dapat menyumbang idea, tenaga dan pengalaman bagi memperkasakan agenda perjuangan PN di semua peringkat, khususnya dalam usaha memperjuangkan kebajikan rakyat, memperkukuhkan institusi negara serta memastikan pentadbiran yang lebih berintegriti dan berkesan.

Abdul Razak menegaskan Parti Wawasan Negara Negeri Kedah akan terus memberikan komitmen penuh dalam memperkukuhkan gerak kerja PN serta mendukung agenda penyatuan ummah dan kesejahteraan rakyat demi masa depan Malaysia yang lebih baik. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share