
KUALA LUMPUR | 27 Jun 26 — Peguam dan bekas menteri, Waytha Moorthy Ponnusamy, menggesa Ketua Hakim Negara memberikan perhatian segera terhadap implikasi perintah injunksi interim ex parte yang diperoleh oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) terhadap Wan Muhammad Azri Wan Deris atau Papagomo, sambil menyifatkannya sebagai perkembangan yang boleh menghakis kebebasan bersuara serta keyakinan rakyat terhadap institusi kehakiman.
Dalam surat terbuka bertarikh 26 Jun yang ditujukan kepada Ketua Hakim Negara, beliau mempersoalkan kewajaran mahkamah mengeluarkan perintah yang didakwanya bukan sahaja menghalang kandungan tertentu, malah turut meliputi ucapan dan penerbitan yang belum wujud pada masa hadapan.
“Apa yang sedang kita saksikan bukanlah satu remedi undang-undang yang lazim, tetapi suatu krisis perlembagaan yang serius yang lahir daripada kegagalan institusi kehakiman melaksanakan tanggungjawabnya secara tuntas,” katanya.
Beliau berhujah mahkamah sepatutnya hanya mempertimbangkan kandungan yang didakwa menyalahi undang-undang, bukannya mengenakan larangan menyeluruh terhadap penggunaan akaun media sosial pada masa hadapan.
“Dengan melarang akaun masa hadapan dan ucapan masa hadapan, mahkamah secara efektif telah memperkenalkan satu doktrin yang amat berbahaya, iaitu menganggap seseorang bersalah terhadap kenyataan yang belum dibuat,” katanya.
Waytha turut mengkritik proses injunksi ex parte itu dengan menyatakan mahkamah mempunyai tanggungjawab untuk meneliti permohonan secara bebas dan tegas, terutama apabila melibatkan hak yang dijamin Perlembagaan.
“Mahkamah tidak boleh sekadar menerima bulat-bulat dakwaan pihak pemohon… Kegagalan berbuat demikian merupakan suatu pengabaian terhadap sumpah dan tanggungjawab kehakiman,” katanya.
Menurut beliau, jika keadaan itu berterusan, rakyat akan melihat institusi kehakiman semakin tunduk kepada kuasa eksekutif.
“Rakyat akan mempunyai tanggapan bahawa badan kehakiman semakin cenderung untuk memenuhi kehendak pihak yang memegang kuasa politik di Putrajaya,” katanya sambil mengingatkan persepsi sedemikian boleh menghakis keyakinan awam terhadap sistem keadilan negara.
Kenyataan itu dibuat susulan tindakan SKMM memfailkan saman sivil terhadap Papagomo berhubung beberapa hantaran media sosial yang didakwa mengandungi kenyataan palsu dan berunsur fitnah terhadap suruhanjaya berkenaan, termasuk dakwaan bahawa SKMM telah mengarahkan portal MalaysiaGazette menurunkan satu laporan.
Mahkamah Tinggi pada 24 Jun lalu kemudiannya membenarkan permohonan injunksi interim secara ex parte, yang antara lain menghalang Papagomo daripada menerbitkan kandungan berkaitan dakwaan tersebut serta melarang penggunaan akaun media sosial bagi menyebarkan kandungan yang menjadi pertikaian sehingga kes didengar secara inter partes. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.