Institusi Raja: Kepercayaan Rakyat Penentu Kelangsungan Institusi – Mufti

KANGAR | 29 Jun 26 – Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin mengingatkan bahawa kelangsungan institusi Raja Berperlembagaan bergantung kepada kepercayaan dan keyakinan rakyat terhadap institusi tersebut.

Menurut beliau, sistem Raja Berperlembagaan merupakan mekanisme yang baik kerana wujudnya keseimbangan kuasa melalui Perlembagaan dan undang-undang, sekali gus mengelakkan kuasa mutlak.

“Sistem dalam negara ini kita ada Raja Berperlembagaan. Jadi dia imbang. Ada undang-undang. Dia tidak mutlak. Itu bagus,” katanya dalam satu syarahan yang tular di media sosial.

Bagaimanapun, beliau berkata kelangsungan institusi berkenaan tidak boleh dipandang sebagai sesuatu yang kekal tanpa syarat, sebaliknya bergantung kepada bagaimana institusi itu terus mendapat kepercayaan rakyat.

Menurut Dr. Mohd Asri, rakyat akan terus mempertahankan institusi sekiranya mereka melihat nilai keadilan, kesopanan dan kasih sayang terhadap rakyat sentiasa dipelihara.

“Jika rakyat semua mendengar berita baik tentang kesopanan, keadilan, sikap sayangkan kepada rakyat, dia akan menjadikan sistem itu berkelangsungan,” katanya.

Sebaliknya, beliau mengingatkan bahawa persepsi negatif membabitkan penyalahgunaan kuasa, layanan tidak adil atau campur tangan dalam urusan pentadbiran boleh menghakis keyakinan rakyat terhadap institusi.

Katanya, cerita mengenai pengambilan projek, penggunaan kuasa yang tidak boleh dicabar atau tindakan yang dilihat menzalimi pihak lain hanya akan menimbulkan kebencian dalam kalangan masyarakat, khususnya generasi muda.

“Kalau hal ini menjadi buah mulut awam, dia hanya membuahkan kebencian. Generasi yang baru ini, mereka tidak ada lagi nilai-nilai dahulu. Dan ini akan mencepatkan sistem itu akan pergi,” katanya.

Dalam masa sama, beliau menegaskan pandangannya bukan bermaksud memusuhi institusi Raja, sebaliknya sebagai peringatan demi memastikan sistem tersebut terus dihormati dan kekal relevan.

“Saya bukan orang yang bermusuh dengan istana. Saya bekerja dengan istana. Tapi ini bercakap tentang hal yang benar,” katanya.

Dr. Mohd Asri turut menekankan bahawa budaya semak dan imbang perlu terus diperkukuhkan dalam semua institusi negara, sambil mengingatkan bahawa tiada pihak yang seharusnya kebal daripada teguran yang disampaikan secara berhemah dan berlandaskan kebenaran.

Beliau berkata keseimbangan kuasa dan keberanian menyampaikan kebenaran merupakan antara faktor penting bagi memastikan negara terus stabil serta mendapat kepercayaan rakyat. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share