
SELAYANG | 30 Jun 26 – PAS Selangor melancarkan Pusat Khidmat Non-Muslim PAS Selangor sebagai inisiatif baharu untuk memperkukuh hubungan dengan masyarakat bukan Islam serta memperluaskan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat tanpa mengira kaum dan agama.
Majlis pelancaran yang berlangsung di Selayang itu disempurnakan oleh Setiausaha PAS Selangor merangkap Yang Dipertua PAS Kawasan Selayang, Hj Zaidy Abdul Talib.
Dalam ucapannya, beliau berkata PAS sentiasa bersifat terbuka kepada semua lapisan masyarakat dan mahu menjadi platform yang mendekati, mendengar serta membantu rakyat tanpa mengira latar belakang.
Menurut beliau, masih terdapat pelbagai tanggapan negatif terhadap PAS yang dibentuk hasil propaganda politik berterusan oleh pihak tertentu sehingga menyebabkan sebahagian masyarakat bukan Islam tidak mengenali parti itu secara adil dan tepat.
Beliau berkata pelbagai label seperti ekstremis, Taliban, tidak berpendidikan dan tidak mampu mentadbir sering dilemparkan terhadap PAS, sedangkan parti itu mempunyai ramai pemimpin dan golongan profesional yang berpendidikan tinggi serta berpengalaman.
Sebagai contoh, katanya, Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Ab Halim Tamuri, mempunyai latar belakang pendidikan antarabangsa serta fasih berbahasa Inggeris, selain menegaskan PAS turut mempunyai keanggotaan daripada pelbagai kaum.
“PAS tidak mencari musuh. Sebaliknya, kita akan terus mempertahankan keadilan dan menentang sebarang bentuk ekstremisme tanpa mengira kaum atau latar belakang,” katanya.
Beliau berkata penubuhan Pusat Khidmat Non-Muslim PAS Selangor lahir daripada keprihatinan terhadap pelbagai isu kebajikan dan kemudahan asas yang dihadapi masyarakat, khususnya golongan yang memerlukan bantuan.
Katanya, pusat khidmat itu diharapkan menjadi jambatan yang menghubungkan PAS dengan masyarakat bukan Islam, di samping menjadi wadah penyampaian perkhidmatan dan bantuan kepada rakyat secara lebih menyeluruh.
Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) Wilayah Persekutuan, Ts. Dr. Subash Chandrabose; Naib Ketua DHPP Kawasan Selayang, Lee Fook Sang; Pengerusi Persatuan Kebajikan Yee Aik Selayang, Sky Lee Kok Seng; serta aktivis komuniti, Yee Poh Ping.
Pusat Khidmat Non-Muslim PAS Selangor kini beroperasi di No. 3, Jalan 40A, Jalan Selayang Baru, 68100 Batu Caves, Selangor. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.