
KUALA LUMPUR | 1 Julai 26 – Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengesyorkan supaya laporan prestasi dan kemajuan projek-projek kritikal Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dibentangkan secara berkala di Dewan Rakyat bagi memastikan ketelusan serta mengelakkan sebarang ketirisan kos selepas penswastaan syarikat itu.
Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, berkata syor berkenaan merupakan antara lapan cadangan utama yang dikemukakan hasil siasatan jawatankuasa itu terhadap pengurusan lapangan terbang awam di bawah Kementerian Pengangkutan (MOT), Kementerian Kewangan (MOF) dan MAHB.
Menurut beliau, laporan prestasi serta kemajuan projek modal kritikal MAHB perlu dibentangkan secara berkala di Parlimen dan turut dikemukakan kepada PAC bagi membolehkan fungsi semak dan imbang dilaksanakan secara berterusan.
“MOF dan MOT juga wajib mengarahkan MAHB mengumumkan laporan kemajuan fizikal serta laporan aliran tunai kewangan secara berkala bagi projek-projek berimpak tinggi seperti Aerotrain, sistem pengendalian bagasi (BHS) dan pembesaran lapangan terbang, bagi memastikan tiada kelewatan atau ketirisan kos berlaku,” katanya pada sidang media di Bangunan Parlimen, hari ini.
Mas Ermieyati menjelaskan, siasatan PAC setakat ini masih meneliti fasa awal penswastaan MAHB, justeru pemantauan berterusan amat penting bagi memastikan setiap perbelanjaan projek dilaksanakan secara telus dan berintegriti.
“Kita masih lagi belum dapat laporan secara terperinci kerana apa yang kita lakukan ini adalah di peringkat awal sewaktu penswastaan dilakukan.
“Sebab itu kita menyatakan bahawa perlu ada laporan secara berkala yang diberikan kepada PAC supaya kita dapat memastikan segala perbelanjaan mengikut ketelusan dan tidak berlaku ketirisan kos,” katanya.
Beliau turut memaklumkan PAC telah mengadakan lawatan mengejut ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada awal bulan lalu bagi meninjau sendiri perkembangan kerja-kerja naik taraf.
Menurutnya, jawatankuasa itu melihat terdapat beberapa penambahbaikan secara fizikal, namun masih mahu menilai sama ada pelaksanaan projek berjalan mengikut pelan pembangunan yang telah dirancang oleh MAHB.
Terdahulu, PAC membentangkan penyata berhubung pengurusan lapangan terbang awam yang antara lain menggariskan lapan syor kepada kerajaan bagi memperkukuh tadbir urus, meningkatkan akauntabiliti dan memastikan kepentingan strategik negara terus terpelihara susulan penswastaan MAHB. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.