Minta Data Telco Bukan Kumpul Maklumat Peribadi, Kata Menteri Komunikasi

Foto – facebook Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR, 8 Jun 25 – Permintaan data panggilan telefon bimbit oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) daripada syarikat telekomunikasi, tidak mengandungi identiti dan maklumat yang boleh digunakan untuk mengenal pasti mana-mana individu.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata data yang diminta, bertujuan menyokong pembentukan dasar berasaskan bukti, termasuk bagi penambahbaikan infrastruktur rangkaian.

“Tujuannya adalah untuk pengumpulan data bagi statistik rasmi Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

“Tidak mengandungi sebarang maklumat peribadi, tapi lebih merujuk kepada trend supaya maklumat yang lebih terperinci dapat kita kumpulkan mengenai mutu, tahap penglibatan, jumlah pengguna yang ada pada satu-satu mukim, satu-satu daerah.

“Sekarang ini banyak daripada maklumat tentang sektor telekomunikasi masih bersifat terlalu umum,” katanya seperti dilapor Bernama.

Fahmi berkata pendekatan baharu yang lebih terperinci, akan membolehkan kerajaan menilai keperluan sebenar rakyat dan merapatkan jurang digital secara lebih efektif.

“Kita juga telah mula untuk berubah daripada memberi maklumat secara umum kepada Kawasan Berpenduduk yang Diliputi (COPA).

“Jadi kita nak pastikan dengan data yang dapat dikumpulkan bawah DOSM nanti, lebih banyak perancangan, dasar dapat berasaskan bukti, evidence-based policy making dan membawa satu kebaikan kepada rakyat,” katanya.

Fahmi berkata keputusan itu, merupakan hasil persetujuan bersama oleh syarikat-syarikat telekomunikasi dan MCMC serta melibatkan agensi-agensi seperti DOSM dalam siri bengkel yang telah diadakan sejak 2023.

“Jadi perbincangan telah diadakan sejak sekian lama dan tak menjadi masalah. Malah syarikat telco saya difahamkan tidak akan memberi sebarang maklumat yang mengandungi data peribadi.

“Hanya anonymised data yang akan, sebaik mungkin, diproses oleh syarikat-syarikat telco sendiri,” katanya.

Sebelum ini, agensi media South China Morning Post melaporkan bahawa MCMC telah mengeluarkan arahan mewajibkan syarikat telekomunikasi menyerahkan data semua panggilan telefon bimbit yang dibuat dari Januari hingga Mac.

Namun, pada Jumaat lepas, MCMC dalam satu kenyataan memperjelas bahawa data yang diminta tidak mengandungi identiti dan sebarang maklumat yang boleh digunakan untuk mengenal pasti mana-mana individu. @sumber

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts

MCA Persoal Kredibiliti Pengerusi BN

Menurut beliau, sebagai Pengerusi BN, Ahmad Zahid tidak sepatutnya bercakap tanpa berfikir, tidak konsisten dengan kenyataan sendiri serta membuat dakwaan yang akhirnya ditarik balik tanpa penjelasan yang meyakinkan.
Read More
Total
0
Share