
KUALA LUMPUR | 2 Julai 26 – Aktivis RESET, Faiz Rahmad menggesa DAP menyatakan pendirian secara terbuka terhadap kenyataan bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua, yang didakwanya mempertikaikan titah Tuanku Sultan Selangor dan memperlekeh teguran Tuanku Pemangku Sultan Johor.
Dalam satu kenyataan hari ini, Faiz mendakwa tindakan Tony Pua bukan sekadar mencetuskan kontroversi politik, malah disifatkannya sebagai tidak menghormati institusi Raja Berperlembagaan yang menjadi tunjang sistem kenegaraan Malaysia.
Menurut beliau, setiap pemimpin politik perlu memahami batas adab dan tanggungjawab apabila mengulas perkara yang melibatkan institusi Raja-Raja Melayu.
“Perbezaan pandangan boleh disuarakan, namun ia tidak boleh dijadikan alasan untuk mengeluarkan kenyataan yang dilihat memperlekeh atau mencabar kewibawaan institusi Raja,” katanya.
Faiz turut mendakwa Tony Pua sebelum ini beberapa kali mencetuskan polemik membabitkan institusi negara, sekali gus menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat serta berpotensi menghakis penghormatan terhadap institusi berkenaan.
Beliau turut berpandangan bahawa kebebasan bersuara tidak boleh dijadikan alasan untuk mengabaikan adab, tanggungjawab dan sensitiviti masyarakat.
“Kebebasan bersuara dalam sebuah negara demokrasi bukanlah hak mutlak. Malaysia dibina atas keseimbangan antara hak rakyat, keluhuran Perlembagaan dan penghormatan terhadap institusi Raja,” katanya.
Dalam kenyataan sama, Faiz menggesa DAP agar tidak terus berdiam diri setiap kali pemimpinnya dikaitkan dengan kontroversi melibatkan institusi Raja.
Menurutnya, kegagalan parti itu menyatakan pendirian yang jelas hanya akan mengundang persepsi bahawa DAP bersedia bertolak ansur dengan kenyataan yang menyinggung institusi Raja atas pertimbangan politik.
“Jika DAP benar-benar menghormati sistem Raja Berperlembagaan seperti yang sering dinyatakan, maka parti itu wajar menyatakan pendirian secara jelas dan tidak berselindung di sebalik alasan kebebasan bersuara,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berpandangan bahawa institusi Raja tidak seharusnya dijadikan sasaran untuk membina naratif politik atau meraih publisiti partisan.
Beliau turut menggesa Tony Pua mempertimbangkan untuk memohon maaf secara terbuka sekiranya kenyataannya telah menimbulkan persepsi menghina atau memperlekeh institusi Raja.
“Semua parti politik perlu mengambil iktibar bahawa tiada siapa yang boleh mengatasi prinsip Kesetiaan kepada Raja dan Negara yang menjadi salah satu asas Rukun Negara,” katanya.
Semalam, Ketua jawatankuasa disiplin DAP Tony Pua membangkitkan persoalan mengenai risiko memulakan tindakan undang-undang terhadap mereka yang mencemarkan reputasinya.
Kenyataannya tertumpu kepada sama ada seseorang patut membawa “seseorang yang berkuasa” ke mahkamah, dan sama ada berbuat demikian akan mengundang lebih banyak laporan polis terhadapnya.
“Jika seseorang yang berkuasa tersilap fakta dan mencemarkan reputasi saya, bolehkah atau patutkah saya menyaman kerana memfitnah?
Kenyataan tersebut dibuat selepas titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah mengenai laluan LRT3 Shah Alam. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.