Lebih 130 Laporan Polis Berhubung Dakwaan “Perjanjian Trump–Anwar”

KUALA LUMPUR, 2 DIS 25— Presiden Gerakan Ekonomi Malaysia, Dr Armin Baniaz Pahamin, memaklumkan bahawa lebih 130 laporan polis telah dibuat di seluruh negara berhubung “Perjanjian Anwar-Trump” (Reciprocal Trade Agreement Malaysia–Amerika Syarikat).

Dalam satu kenyataan hari ini, Armin berkata beliau bersama Dato’ Sri Khairuddin Abu Hassan telah membuat laporan polis pada 29 November 2025, selepas meneliti salinan dokumen perjanjian tersebut yang menurutnya menimbulkan beberapa kebimbangan berkaitan kedaulatan ekonomi dan keselamatan negara.

Menurut Armin, kandungan “Perjanjian Awar-Trump” didakwa memberi kelebihan besar kepada Amerika Syarikat, termasuk ketiadaan perlindungan terhadap eksport nadir bumi dan mineral kritikal Malaysia serta kewajipan mematuhi syarat-syarat yang dianggap berat sebelah.

Beliau turut mendakwa terdapat klausa yang boleh menyebabkan Malaysia perlu merujuk dasar ekonomi tertentu kepada Amerika Syarikat sebelum membuat keputusan berkaitan sumber strategik, sesuatu yang disifatkannya menimbulkan persoalan mengenai kedaulatan negara.

“Keputusan seperti ini memberi kesan kepada seluruh ekosistem perniagaan dan ekonomi rakyat Malaysia tanpa mengira kaum,” katanya, sambil menambah bahawa langkah itu boleh menekan peluang pekerjaan dan melemahkan daya saing negara.

Beliau juga menyatakan keyakinan bahawa terdapat asas untuk siasatan mengikut Seksyen 124K Kanun Keseksaan sekiranya perjanjian itu didapati memudaratkan kepentingan negara demi kuasa asing.

“Saya memohon agar pihak polis menyiasat Perdana Menteri dan semua pihak yang terlibat dalam penyediaan ART 2025 (Perjanjian Anwar-Trump), termasuk pegawai MITI dan Pejabat Peguam Negara,” katanya.

Armin menegaskan bahawa laporan polis itu dibuat bagi mempertahankan kedaulatan negara dan masa depan Malaysia. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share