
KUALA LUMPUR | 3 Julai 26 – Kabinet memutuskan untuk tidak meneruskan cadangan mengadakan pemilihan Datuk Bandar Kuala Lumpur secara langsung selepas mengambil kira dapatan kajian kebolehlaksanaan yang dijalankan oleh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Menurut laporan Malaysiakini, keputusan itu dibuat selepas kajian berkenaan tidak menyokong pelaksanaan cadangan tersebut, sebaliknya mengesyorkan supaya kerajaan memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh tadbir urus, akauntabiliti dan mekanisme semak dan imbang dalam pentadbiran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh dilaporkan berkata Kabinet turut memutuskan supaya cadangan melantik ahli majlis DBKL tidak diteruskan buat masa ini.
Sebaliknya, kerajaan akan menumpukan kepada penambahbaikan sistem pentadbiran sedia ada tanpa mengubah struktur asas pentadbiran ibu negara.
Cadangan mengadakan pilihan raya Datuk Bandar Kuala Lumpur sebelum ini dibawa sendiri oleh Hannah Yeoh sejurus mengambil alih portfolio Wilayah Persekutuan. Beliau ketika itu mengarahkan kementeriannya menjalankan kajian kebolehlaksanaan dengan alasan pemilihan seorang datuk bandar secara langsung dilihat lebih praktikal berbanding mengadakan pilihan raya bagi semua ahli majlis bandar raya.
Hannah turut mempertahankan langkah menjalankan kajian itu ketika cadangan berkenaan menerima kritikan, dengan menegaskan keputusan dasar perlu dibuat berasaskan data dan fakta, bukan persepsi atau sentimen politik.
Bagaimanapun, cadangan tersebut menerima bantahan daripada pelbagai pihak termasuk parti-parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan yang berpandangan pemilihan secara langsung boleh menjejaskan kedudukan serta kuasa Yang di-Pertuan Agong sebagai pihak yang melantik Datuk Bandar Kuala Lumpur. Ada juga yang membangkitkan kebimbangan terhadap implikasi perlembagaan dan perubahan keseimbangan politik di ibu negara.
Berdasarkan laporan media, kajian UIAM turut mendapati sebarang pindaan kepada Akta Ibu Kota Persekutuan 1960 melibatkan isu sensitif kerana menyentuh kedudukan Yang di-Pertuan Agong dan Sultan Selangor. Kajian itu juga berpandangan perubahan kepada struktur pentadbiran sedia ada berpotensi bercanggah dengan matlamat asal akta tersebut, iaitu memastikan pentadbiran Kuala Lumpur kekal stabil dan bebas daripada ketidaktentuan politik.
Sebagai alternatif, UIAM mencadangkan kerajaan memperkukuh sistem semak dan imbang dalam DBKL melalui penambahbaikan garis panduan tadbir urus, memperkasakan peranan Ahli Parlimen Kuala Lumpur serta memperjelaskan fungsi Lembaga Penasihat DBKL. @sumber
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.