
KUALA LUMPUR | 3 Julai 26 – Ahli Parlimen Subang, Wong Chen menggesa kerajaan mendedahkan kepada umum semua hasil siasatan yang pernah dijalankan berhubung isu pemilikan saham membabitkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.
Beliau berkata, sehingga kini difahamkan terdapat dua siasatan telah dijalankan oleh kerajaan berhubung perkara itu, namun dapatan siasatan berkenaan masih belum didedahkan kepada orang ramai.
“Kami menggesa supaya semua hasil siasatan yang telah dijalankan oleh Kerajaan MADANI berkaitan pemilikan saham Tan Sri Azam Baki didedahkan kepada umum.
“Kami difahamkan dua siasatan telah dijalankan sehingga hari ini, tetapi tiada satu pun hasil siasatan tersebut diumumkan kepada rakyat,” katanya pada sidang media bersama beberapa Ahli Parlimen di Bangunan Parlimen, hari ini.
Dalam sidang media sama, Wong Chen turut mengulangi gesaan supaya sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan bagi menyiasat isu membabitkan Azam Baki serta dakwaan mengenai kewujudan “mafia korporat”.
Beliau berkata, penubuhan RCI penting bagi memastikan siasatan dijalankan secara bebas dan telus demi memulihkan keyakinan rakyat terhadap institusi negara.
Selain itu, beliau mencadangkan supaya 51 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menyokong penubuhan RCI melancarkan kempen “name and shame” dengan memberikan tempoh tujuh hari kepada semua Ahli Parlimen untuk menyatakan pendirian sama ada menyokong atau menolak penubuhan suruhanjaya berkenaan.
Menurutnya, langkah itu akan membolehkan rakyat mengetahui pendirian setiap wakil rakyat terhadap gesaan supaya siasatan bebas dijalankan.
Terdahulu, tular laporan mengenai pelantikan Tan Sri Azam Baki sebagai penasiat kepada Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC). Ketua pembangkang, Hamzah Zainudin bertanyakan mengenai justifikasi pelantikan tersebut. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.