
KUALA LUMPUR | 5 Julai 26 – Parti Wawasan Negara (WAWASAN) mahu prinsip penolakan pendakwaan bermotif politik, diskriminasi dan penyalahgunaan kuasa dijadikan antara teras utama dalam Konsensus Nasional Baharu yang dicadangkan bagi membentuk sistem pentadbiran negara.
Naib Presidennya, Datuk Leong Kim Soon berkata, tonggak tatakelola dalam gagasan itu mesti berasaskan pentadbiran yang bersih, telus, bertanggungjawab dan berteraskan kepentingan rakyat.
Menurut beliau, kerajaan juga perlu menegakkan keadilan tanpa mengira latar belakang politik serta menolak sebarang bentuk pendakwaan bermotif politik, diskriminasi dan penyalahgunaan kuasa.
“Tatakelola perlu bersih, telus, bertanggungjawab dan berpusatkan rakyat. Ia mesti menegakkan keadilan, menolak diskriminasi, pendakwaan bermotif politik serta penyalahgunaan kuasa, selain berkhidmat kepada seluruh rakyat Malaysia dengan penuh integriti dan ihsan,” katanya dalam satu kenyataan.
Leong berkata, tonggak tatakelola itu merupakan satu daripada tiga asas utama Konsensus Nasional Baharu yang diperkenalkan WAWASAN.
Menurut beliau, tonggak pertama iaitu Matlamat Bersama menekankan bahawa seluruh rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama, wilayah atau fahaman politik, berkongsi aspirasi yang sama untuk membina masa depan negara.
Katanya, tonggak kedua pula ialah Kemakmuran Bersama, yang menggariskan keperluan supaya pertumbuhan ekonomi bersifat inklusif dan saksama, dengan setiap lapisan masyarakat menikmati manfaat melalui peluang pekerjaan yang lebih baik, pendapatan lebih tinggi, pendidikan berkualiti, perumahan mampu milik serta perlindungan sosial yang lebih kukuh.
Mengulas keseluruhan gagasan itu, Leong berkata ketiga-tiga tonggak berkenaan menjadi asas kepada pembentukan Konsensus Nasional Baharu.
“Ketiga-tiga tonggak ini membentuk asas kepada Konsensus Nasional Baharu ke arah membina sebuah Malaysia yang bersatu, makmur dan berperikemanusiaan untuk setiap warganegara.”
Beliau berkata, pendekatan tersebut diharap dapat menjadi landasan kepada pembinaan sebuah negara yang lebih bersatu, adil, makmur dan mengutamakan kebajikan seluruh rakyat Malaysia.
Konsensus Nasional Baharu yang dicadangkan oleh Hamzah Zainudin akan menjadi agenda utama parti gagasan beliau iaitu Wawasan Negara. Malam ini, Hamzah dijangka memberi ucapan dalam himpunan Reset Johor, di Johor Bahru. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.