PRN: MAP Sokong Saranan Abdul Hadi, Seru Pengundi India Pilih Calon PN atau BN

KUALA LUMPUR | 7 Julai 26 – Parti Kemajuan Malaysia (MAP) mengumumkan akan menggerakkan jenteranya bagi membantu kempen Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan, selain menyeru masyarakat India memberi sokongan kepada calon kedua-dua gabungan itu.

Presiden MAP, P. Waytha Moorthy berkata keputusan tersebut dibuat sebulat suara dalam mesyuarat parti pada 1 Julai lalu selepas mengambil kira prestasi pentadbiran Kerajaan Perpaduan yang menurutnya gagal memenuhi pelbagai komitmen kepada masyarakat India dan rakyat secara keseluruhannya.

Beliau berkata PRN kali ini perlu dijadikan medan untuk masyarakat India menyampaikan mesej demokratik kepada kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bahawa sokongan terhadap Pakatan Harapan (PH) tidak boleh diberikan tanpa pertanggungjawaban terhadap janji-janji yang tidak ditunaikan.

Menurut Waytha Moorthy, MAP sebelum ini memberi sokongan kepada PH pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2018 selepas gabungan itu mengemukakan manifesto yang menjanjikan pembasmian kemiskinan tanpa mengira kaum serta pelbagai komitmen khusus bagi menangani isu sosioekonomi masyarakat India.

Katanya, sokongan itu menyumbang kepada kira-kira 88 peratus undi masyarakat India yang memihak kepada PH pada pilihan raya tersebut.

“Pada PRU 2022 pula, MAP mengambil pendirian berkecuali selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan banyak janji belum dapat ditunaikan kerana beliau belum menjadi Perdana Menteri. Kami memberi ruang kepada rakyat untuk memberikan peluang sekali lagi kepada Pakatan Harapan,” katanya dalam sidang media di sini.

Bagaimanapun, beliau mendakwa selepas Anwar menjadi Perdana Menteri, kerajaan gagal memenuhi janji berkaitan pembasmian kemiskinan, penurunan kos sara hidup, usaha membanteras rasuah serta menangani isu melibatkan hubungan kaum, agama dan institusi Raja-Raja Melayu.

Waytha Moorthy turut mengkritik tindakan kerajaan dalam beberapa isu dasar luar yang menurutnya tidak selari dengan pendirian rakyat Malaysia, termasuk berkaitan konflik di Gaza.

Sehubungan itu, beliau berkata MAP akan mengarahkan seluruh jentera parti menyokong mana-mana calon yang menentang Pakatan Harapan pada PRN akan datang.

Dalam masa sama, beliau menyatakan sokongan terhadap gesaan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, yang menyeru pengundi menyokong calon Perikatan Nasional, dan jika tiada calon PN bertanding, memberikan sokongan kepada calon Barisan Nasional.

“Kami bersetuju dengan saranan Tan Sri Abdul Hadi Awang. Justeru, MAP menyeru masyarakat India supaya memberikan sokongan penuh kepada calon Perikatan Nasional dan, sekiranya tiada calon PN bertanding, mengundi calon Barisan Nasional,” katanya.

Baru-baru ini, Presiden PAS mengarahkan pengundi untuk menolak PH dan sebeliknya memberi undi kepada BN dikawasan yang tidak ditandingi oleh PN. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts

PAS Putuskan Tak Sertai EXCO Perlis

“PAS komited untuk meneruskan kelangsungan dan keberadaan PAS dalam Kerajaan Negeri Perlis selaras dengan mandat rakyat pada PRU-15, namun pada masa sama tidak akan menganggotai EXCO yang dibentuk oleh Menteri Besar baharu,” katanya.
Read More
Total
0
Share