
KUALA LUMPUR, 9 MEI 25 – Ketua Penerangan Bersatu Bahagian Hulu Langat, Mohamad Shafiq Abdul Halim menafikan dia memuat naik video menyentuh isu kaum dan agama di media sosial sehingga mengakibatkannya dikompaun oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).
Shafiq sebaliknya berkata, kandungan di aplikasi TikTok pada 31 Mac itu hanya menyentuh berkenaan pegangan ekuiti Bumiputera dalam Menara Kuala Lumpur tergadai.
“Dalam kes Menara KL dulu pegangan ekuiti bumiputera 100% sekarang tinggal 30%. Tiada kaitan isu agama dan kaum.
“Berita melaporkan, kenyataan SKMM sengaja burukkan imej dan reputasi saya. Itu satu penipuan. Saya dipanggil ke pejabat MCMC berkaitan video menara Kula Lumpur tergadai. Pihak MCMC kata saya beri maksud menara KL dijual. Maksud tergadai adalah pegangan ekuiti,” katanya, dalam video yang dimuat naik di aplikasi TikTok miliknya.
SKMM dalam satu kenyataan sebelum ini mengatakan Shafiq didenda RM10,000 kerana kesalahan memuat naik kandungan jelik melampau membabitkan sentimen kaum dan agama berkaitan isu pekerja Menara Kuala Lumpur.
Tindakan itu diambil setelah mendapat izin pengkompaunan daripada Jabatan Peguam Negara.
Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang memperuntukkan larangan terhadap penggunaan kemudahan rangkaian, perkhidmatan rangkaian atau perkhidmatan aplikasi bagi tujuan penyebaran kandungan bersifat lucah, sumbang, palsu, mengancam atau jelik melampau.
SKMM turut menasihati semua pengguna media sosial agar sentiasa bertanggungjawab serta beretika dalam memuat naik atau berkongsi kandungan dan sebarang penyebaran kandungan berunsur jelik melampau khususnya yang boleh menjejaskan sensitiviti agama, kaum atau institusi diraja akan dikenakan tindakan tegas.
Agensi itu turut menyatakan komitmen dalam memastikan ruang siber negara kekal selamat, teratur dan harmoni, seiring dengan usaha memperkukuhkan perpaduan nasional serta keharmonian masyarakat berbilang kaum di Malaysia.@politiko.my