REE Hak Negeri, Bukan Milik Persekutuan – Sanusi

Foto – facebook Sanusi Md Noor

SUNGAI PETANI | 9 Julai 26 – Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menegaskan unsur nadir bumi (REE) merupakan hak negeri di bawah Perlembagaan Persekutuan dan bukannya bidang kuasa Kerajaan Persekutuan, sekali gus mempersoalkan tindakan Putrajaya yang didakwa menghalang usaha Kedah meneroka sumber mineral strategik itu.

Menurut beliau, ketika perkara tersebut dibangkitkan dalam mesyuarat bersama Kerajaan Persekutuan, alasan “keselamatan negara” digunakan bagi menghalang pelaksanaan projek penerokaan REE di Kedah.

“Apabila ditanya dalam mesyuarat, mereka kata ini soal ‘national security’. Habislah kita. REE bukan hak Persekutuan, tetapi hak negeri,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Makan Malam Dana PRU16 PAS Kawasan Sungai Petani, baru-baru ini.

Sanusi berkata, Kerajaan Negeri telah memenuhi semua keperluan teknikal dan perundangan bagi melaksanakan projek tersebut, termasuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP), memperoleh kelulusan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) serta mendapat sokongan daripada 28 agensi teknikal.

Katanya, model penerokaan yang dicadangkan turut berpandukan projek perintis di Kenering, Perak yang menjadi rujukan negara dalam pembangunan SOP industri REE.

“Kita bersedia buat sebagaimana projek perintis di Kenering. Semua syarat dipatuhi, EIA diperoleh dan kelulusan daripada 28 agensi telah dipenuhi. Tetapi akhirnya tidak boleh dilaksanakan kerana ada pihak yang tarik tali,” katanya.

Beliau berkata, Kedah sepatutnya diberi ruang mengurus sendiri sumber REE yang berada dalam bidang kuasa negeri, termasuk memilih pelabur yang mampu menawarkan pulangan terbaik serta membangunkan keseluruhan rantaian industri bernilai tinggi di negeri itu.

Menurutnya, Kedah memiliki antara gred REE terbaik di Malaysia, selain Terengganu dan Kelantan yang turut mempunyai deposit mineral strategik berkenaan.

“Saya akan beri kepada pihak yang menawarkan nilai terbaik kepada Kedah. Datang beroperasi di sini, bina kilang pengasingan 17 elemen di Kedah dan beri harga terbaik kepada negeri kita,” katanya.

Sanusi turut memaklumkan beberapa wakil negara termasuk Amerika Syarikat, Perancis dan Australia telah mengadakan pertemuan dengan Kerajaan Negeri bagi menyatakan minat terhadap potensi industri REE di Kedah.

“Duta-duta datang jumpa kita sebab REE. Mereka kata mampu melakukan pengasingan 17 elemen dan bersedia membina kilang di Kedah. Orang Lynas pun datang,” katanya.

Beliau berkata, pendirian Kerajaan Negeri itu turut selari dengan titah Sultan Kedah sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan baginda ke-84 semalam yang menggesa Kerajaan Persekutuan tidak mewujudkan sebarang halangan pentadbiran terhadap usaha pembangunan negeri, termasuk pengurusan dan penerokaan REE.

Menurut Sanusi, sumber mineral strategik itu merupakan aset milik Kedah yang perlu dimanfaatkan bagi menjana hasil kepada negeri dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.

“REE adalah harta Kedah, milik rakyat dan negeri Kedah,” tegasnya.

Dalam pada itu, beliau turut mendakwa berlaku kecenderungan Kerajaan Persekutuan mengambil alih bidang kuasa negeri, dengan merujuk kepada pengurusan industri air yang menurutnya telah banyak dipindahkan kepada Persekutuan selepas penguatkuasaan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006.

“Negeri hanya diberi kuasa berkaitan tanah, galian, air dan agama. Air sudah banyak berpindah kepada Persekutuan. Takkan sekarang galian mineral pula hendak diambil. Jadi negeri tinggal apa?” soalnya.

Beliau turut mengingatkan Kerajaan Persekutuan supaya menghormati semangat Perlembagaan Persekutuan serta kedudukan negeri dalam mengurus sumber asli yang berada di bawah bidang kuasanya. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share