
MUAR | 9 Julai 26 – Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengimbau sejarah kerjasama antara PAS dan UMNO sebelum serta selepas kemerdekaan dalam mempertahankan kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan ketika Perlembagaan Persekutuan dirangka.
Beliau berkata, meskipun kedua-dua parti mempunyai perbezaan politik, PAS dan UMNO pernah berkongsi pendirian dalam memastikan Islam mendapat tempat dalam asas pembentukan negara.
Menurutnya, ketika proses penggubalan Perlembagaan melalui Suruhanjaya Reid, PAS dan UMNO sama-sama memperjuangkan supaya Islam diiktiraf sebagai Agama Persekutuan.
“Berlaku perbahasan ketika itu. PAS dengan UMNO sama-sama berjuang untuk meletakkan Islam dalam Perlembagaan sehingga akhirnya dipersetujui bahawa Islam ialah Agama Persekutuan,” katanya ketika berucap dalam ceramah Grand Finale Perikatan Nasional (PN) sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2026, semalam.
Hadi berkata, pengiktirafan tersebut dicapai selepas perdebatan panjang, termasuk bantahan pihak tertentu yang tidak mahu tafsiran itu membawa maksud Malaysia sebagai sebuah negara Islam.
Katanya, akhirnya Suruhanjaya Reid mengekalkan peruntukan bahawa Islam ialah Agama Persekutuan tanpa menghuraikan tafsiran secara terperinci, manakala pelaksanaan undang-undang berkaitan agama diserahkan mengikut bidang kuasa yang diperuntukkan dalam Perlembagaan.
Dalam ucapannya, Hadi turut mengimbau sejarah penubuhan PAS yang menurutnya lahir daripada kelompok pejuang Islam selepas berlaku perbezaan pandangan dengan UMNO mengenai syarat-syarat kemerdekaan yang dikemukakan British.
Beliau berkata, sebelum kemerdekaan, pelbagai pertubuhan Melayu bergabung di bawah UMNO bagi menuntut kemerdekaan, namun berlaku perpecahan apabila sebahagian pemimpin dan ulama tidak bersetuju dengan beberapa syarat yang ditetapkan penjajah.
“Golongan yang mahu perjuangan Islam diteruskan akhirnya menubuhkan PAS,” katanya.
Hadi turut mengimbau keputusan Pilihan Raya Umum 1955 dan 1959 serta kerjasama politik yang pernah berlaku antara PAS dan Parti Negara pimpinan Allahyarham Datuk Onn Jaafar sebagai sebahagian daripada perjalanan sejarah politik negara.
Menurut beliau, sejarah tersebut menunjukkan bahawa perjuangan mempertahankan kedudukan Islam dalam Perlembagaan bukanlah usaha satu parti semata-mata, sebaliknya pernah menjadi titik persamaan antara pemimpin Melayu sebelum perbezaan politik semakin melebar.
Beliau berkata, sejarah itu wajar difahami oleh generasi muda agar mereka mengetahui proses pembentukan negara dan asas Perlembagaan Persekutuan yang menjadi tunjang kepada sistem pentadbiran Malaysia hari ini. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.