
KUALA LUMPUR, 4 Jan 26 — Gagasan penyatuan orang Melayu tidak seharusnya dihadkan kepada kerjasama antara UMNO dan PAS semata-mata, sebaliknya perlu melibatkan semua parti politik Melayu utama bagi memastikan ia bersifat menyeluruh dan benar-benar ikhlas.
Pengarah Jabatan Komunikasi Strategik PAS Pulau Pinang, Anas Soffy Abd Wahid, berkata kenyataan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, yang menyuarakan hasrat agar UMNO dan PAS bersatu wajar diberi perhatian serius, namun perlu dilihat dalam konteks realiti politik Melayu yang semakin kompleks.
“Penyatuan Melayu memang satu keperluan dalam suasana politik dan ekonomi negara yang semakin mencabar. Namun persoalannya, jika benar-benar ikhlas mahu menyatukan orang Melayu, mengapa ia hanya terhad kepada UMNO dan PAS?” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Anas Soffy, landskap politik Melayu hari ini tidak lagi bersifat dwiparti. Selain UMNO dan PAS, terdapat parti lain seperti BERSATU, Pejuang, Putra dan Amanah yang turut membawa agenda serta memperjuangkan isu berkaitan Melayu dan Islam sama ada secara langsung atau tersirat.
“Mengabaikan parti-parti ini hanya akan menjadikan penyatuan Melayu sekadar slogan sempit, bukan satu penyatuan yang menyeluruh,” tegasnya.
Beliau menjelaskan bahawa PAS tidak pernah menutup pintu untuk bekerjasama dengan UMNO atas dasar penyatuan ummah dan orang Melayu, malah sejarah membuktikan PAS sanggup berkompromi demi kepentingan lebih besar. Namun begitu, pengalaman kerjasama dalam Muafakat Nasional (MN) tidak boleh dipadamkan begitu sahaja.
“Ketika MN, UMNO gagal menunjukkan keikhlasan sebenar. Sikap ‘abang besar’, kecenderungan mengawal mutlak keputusan serta usaha membolot kerusi pilihan raya menjadi punca utama keretakan kerjasama,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan agar kesilapan lampau tidak diulangi sekiranya UMNO benar-benar serius untuk menghidupkan semula agenda penyatuan Melayu.
Anas Soffy turut menegaskan UMNO perlu menyedari realiti politik semasa, termasuk kedudukannya dalam Kerajaan Perpaduan bersama Pakatan Harapan (PH). Menurutnya, jika UMNO mahu kembali duduk semeja dengan PAS, pendekatan bersyarat dan berat sebelah mesti ditinggalkan.
“Sebarang penyatuan Melayu yang tulen mesti melibatkan semua parti Melayu utama, termasuk BERSATU, Pejuang, Putra dan Amanah, sekiranya mereka sanggup meninggalkan PH. Pembahagian kerusi pula perlu dibuat secara adil dan berasaskan status quo, bukan berdasarkan ego atau nostalgia kuasa lama,” ujarnya.
Beliau menegaskan penyatuan Melayu bukan projek menyelamatkan satu parti tertentu, sebaliknya satu usaha menyelamatkan masa depan orang Melayu dan Islam di negara ini.
“Jika UMNO masih mahu menentukan syarat dari posisi ‘abang besar’, penyatuan itu hanya akan berakhir seperti sebelum ini — gagal dan penuh kekecewaan,” katanya.
Menurut beliau, penyatuan sebenar menuntut keikhlasan, kerendahan hati serta kesediaan untuk berkongsi kuasa, dan bukan sekadar retorik yang dilontarkan di pentas konvensyen. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.