
KUALA LUMPUR | 24 Ogos 26 – Tindakan penguatkuasaan susulan tulisan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, terhadap DAP dipersoalkan Majlis Tertinggi Wawasan Negara, Mohd Hamdan Mohd Sharif, yang menyifatkan perkembangan itu sebagai tanda DAP semakin “melatah” dan kerajaan pula berada dalam keadaan panik.
Mohd Hamdan mempersoalkan bagaimana kritikan politik yang ditulis Hadi boleh berkembang menjadi isu yang membawa kepada tindakan siasatan.
“Tan Sri Hadi menulis dan mengkritik DAP. Tiba-tiba satu kritikan seolah-olah telah menjadi isu jenayah. Apakah DAP terlalu berkuasa hingga sebarang kritikan kepada mereka akan berakhir dengan tindakan penguatkuasaan?” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, perkembangan tersebut pasti menimbulkan persoalan dalam kalangan rakyat mengenai kedudukan kebebasan bersuara, khususnya apabila kritikan terhadap parti yang berada dalam kerajaan dilihat membawa implikasi penguatkuasaan.
“Rakyat tentu akan bertanya – adakah sekarang ini mengkritik DAP kerajaan sudah cukup untuk membuat seseorang berdepan siasatan?” katanya.
Mohd Hamdan turut mempersoalkan neraca pertimbangan kerajaan dalam menguruskan kebebasan bersuara yang dijamin Perlembagaan, sambil mendakwa DAP mungkin terlalu takut berdepan dengan kritikan yang dianggap menyakitkan.
“Melainkan, DAP teramat takut dengan kebenaran yang menyakitkan mereka,” katanya.
Beliau berkata, sekiranya DAP dan kerajaan merasakan mereka berada di pihak yang benar, jawapan sepatutnya diberikan melalui hujah dan fakta, bukannya tekanan atau tindakan terhadap pengkritik.
“Jika DAP dan kerajaan di pihak yang benar, berikan hujah balas, jawablah tulisan Hadi dengan fakta – bukan dengan tekanan, bukan dengan drama, dan bukan dengan menjadikan pengkritik sebagai masalah,” katanya.
Mohd Hamdan turut mengingatkan bahawa DAP selama bertahun-tahun dikenali sebagai parti yang lantang mengkritik, mempertikai dan menyerang pihak lawan, dan perkara itu merupakan sebahagian daripada hak dalam sistem demokrasi.
Namun, katanya, apabila sudah berada dalam kerajaan, DAP juga perlu bersedia menerima kritikan yang sama keras daripada pihak lain.
“Jangan sampai rakyat melihat satu standard ketika menjadi pembangkang, dan satu standard lagi apabila sudah berkuasa,” katanya.
Beliau turut mengemukakan persoalan yang lebih luas mengenai penggunaan kuasa terhadap pengkritik dengan bertanya, “Hari ini Tan Sri Hadi. Esok siapa pula?”
Mohd Hamdan menegaskan kuasa politik tidak sepatutnya menjadikan mana-mana parti kebal daripada kritikan, apatah lagi sehingga dilihat cepat melatah apabila berdepan serangan politik.
“Kuasa politik tidak sepatutnya menjadikan mana-mana parti kebal daripada kritikan, apatah lagi cepat melatah dan panik,” katanya.
Lebih keras, beliau mendakwa DAP kini berada dalam keadaan politik yang semakin lemah dan mengakhiri kenyataannya dengan menyifatkan parti itu sebagai sedang “mereput, menanti rebah”.
Kenyataan Mohd Hamdan itu menambah tekanan politik terhadap DAP berhubung isu siasatan terhadap Hadi, khususnya mengenai persoalan sama ada tindakan penguatkuasaan terhadap kenyataan politik boleh menimbulkan persepsi bahawa ruang kritikan terhadap parti kerajaan semakin mengecil. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.