Pada 7 Julai lalu, ketika membahaskan Laporan SUHAKAM di Dewan Rakyat, saya memaklumkan bahawa pada 2 Julai lalu, saya dan Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal telah bertemu aktivis-aktivis Sekretariat Mansuh AUKU, Brendon Gan Vinnten (UKM), Suriani Ebrahim Harris (UM) dan Qistina Qaisara Syahril Akmal (UMS).
Mereka menyerahkan Surat Bantahan Tindakan Prosiding AUKU (Akta Universiti dan Kolej Universiti) Ke Atas Mahasiswa UMS yang ditujukan kepada Menteri dan Timbalan Menteri KPT serta Ahli-ahli Parlimen Malaysia.
Mereka mendesak supaya dibatalkan prosiding tatatertib (dijadualkan pada 21 Julai ini) yang diambil UMS terhadap dua aktivis Suara Mahasiswa UMS, Fidaa’ Ahmad Fahmi (Fakulti Komputeran dan Informatik) dan Abdul Qayyum Ilham Zulizrul (Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan).
Fidaa’ dikenakan lima pertuduhan manakala Qayyum dikenakan tiga pertuduhan. Intinya ialah mereka dituduh terlibat dalam satu perhimpunan di luar kampus (di Kudat) pada Mei lalu serta menerbit dan menyebar poster bertajuk ‘Demonstrasi Gempur Rasuah Sabah 3.0’, melabel individu-individu tertentu dan menggunakan istilah-istilah ‘Koruptor No 1 Sabah’, ‘Pemberi Rasuah’ dan ‘Ketua Gabungan Rasuah Sabah’.
Ini seiras perjuangan menjatuhkan ‘kleptokrat’ dahulu.
Pada saya, mereka berjuang menegakkan kebenaran dan keadilan. Ini aktivisme mahasiswa yang perlu diraikan (celebrate), bukannya dimatikan!
AUKU yang drakonian itu telah dipinda sejak 2012, semasa saya Timbalan Menteri KPT. Kerajaan telah mengizinkan mahasiswa menyertai politik. Mahasiswa UM Prabakaran Parameswaran bertanding PRU14 di kawasan Parlimen Batu dan menang.
Saya telah bertemu Fidaa’ dan ada salinan surat UMS kepada kedua-dua mereka. Pada saya, semua pertuduhan itu tidak munasabah.
PMX, Menteri dan Timbalan Menteri KPT serta ramai wakil rakyat, ahli politik dan tokoh-tokoh masyarakat hari ini adalah mantan aktivis mahasiswa.
Dasar-dasar pendidikan KPT dan KPM hari ini progresif. Begitu juga ‘Cadangan Reformasi Pendidikan’ PN. Antara lain, PN berbicara tentang kecemerlangan dan kebebasan akademik serta gerakan dan perjuangan mahasiswa (idealisme, aktivisme dan intelektualismenya).
Kerana itu saya tersirap apabila ada universiti yang masih di takuk lama.
Justeru, saya mengongsi semula e-buku yang saya tulis semasa Timbalan Menteri KPT, Kalau Saya Mahasiswa (2009) yang boleh dibaca di media sosial saya. Ia membincangkan dua bab utama, iaitu Gerakan Mahasiswa dan Governans Pembangunan Mahasiswa.
Saya mengongsinya semula kerana, kita harus menyemak semula kesedaran dan kefahaman sesetengah kita tentang kedudukan sebenar ilmu, universiti, mahasiswa dan masyarakat.
Dalam kes ini, sekiranya mereka yang ‘disentuh’ aktivis-aktivis itu tidak mengambil tindakan, mengapakah UMS pula yang terkinja-kinja?
Kesimpulannya, saya menyokong surat bantahan ini. UMS mesti membatalkan prosiding ini. Kalau aktivis-aktivis itu dihukum juga, maka ini kezaliman!
Saya tahu, ada sesetengah pihak (universiti dan kuasa luar), apabila gagal menghukum aktivis mahasiswa dengan cara AUKU, maka mereka menghukum aktivis mahasiswa tersebut dengan cara-cara yang lain pula. Ini juga kezaliman!
Ingatlah. Kita mendidik, bukannya mencekik!
Datuk Seri Saifuddin Abdullah ialah Ahli Parlimen Indera Mahkota dan Setiausaha Agung Parti Wawasan Negara (Wawasan Negara).
Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili pandangan politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.