Kemenangan BN Di Johor Bukan Gelombang UMNO Semata-Mata – Penganalisis

KUALA LUMPUR | 12 Julai 26 – Kemenangan besar Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bukan boleh ditafsirkan sebagai kebangkitan UMNO secara keseluruhan, sebaliknya didorong oleh gabungan gelombang sokongan Melayu, penolakan terhadap DAP dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, serta faktor kepimpinan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Penganalisis politik, Datuk Nizam Mahshar, berkata kemenangan BN yang meraih 48 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), berbanding jangkaan awal antara 38 hingga 44 kerusi, selain peningkatan kadar keluar mengundi daripada 54.92 peratus pada PRN 2022 kepada 68.73 peratus kali ini, menunjukkan wujudnya satu gelombang politik di Johor.

“Ini adalah Gelombang Melayu yang disulam oleh Gelombang penolakan DAP dan Anwar. Namun ini bukan Gelombang UMNO secara total. Ia adalah Faktor Onn Hafiz dengan sokongan Istana. Ia adalah Tsunami BN Johor,” katanya dalam analisis ringkas mengenai keputusan PRN Johor.

Menurut beliau, antara perkembangan yang wajar diberi perhatian ialah kegagalan DAP mempertahankan kerusi yang dimenangi sebelum ini walaupun mendapat sokongan rakan gabungan.

Bagaimanapun, katanya, penelitian di peringkat pusat daerah mengundi (PDM) dan lokaliti perlu dibuat bagi menentukan sama ada berlaku peralihan sokongan pengundi Cina kepada MCA atau sebaliknya.

Nizam turut berpandangan MIC dilihat memperoleh penerimaan yang lebih baik, manakala PKR dan Amanah menunjukkan tanda-tanda semakin ditolak pengundi di Johor.

Beliau juga menyifatkan kegagalan semua calon parti BERSAMA mempertahankan deposit sebagai petunjuk bahawa pengaruh Presidennya, Datuk Seri Rafizi Ramli, tidak seperti yang cuba digambarkan sebelum ini.

Mengulas prestasi Perikatan Nasional (PN), beliau berkata kejatuhan undi popular gabungan itu daripada 23.14 peratus pada PRN 2022 kepada 5.45 peratus kali ini menunjukkan PN memerlukan naratif serta strategi baharu untuk terus kekal relevan.

Katanya, prestasi BERSATU di beberapa kawasan seperti Bukit Kepong dan Bukit Pasir juga memberi indikasi bahawa parti itu bakal berdepan cabaran lebih besar pada pilihan raya akan datang.

Pada masa sama, beliau menjangkakan UMNO akan menggunakan kemenangan besar di Johor bagi membina naratif bahawa sokongan terhadap parti itu telah kembali di peringkat nasional, meskipun beliau menegaskan keputusan PRN Johor tidak boleh dilihat sebagai gelombang UMNO semata-mata. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts

14 Tokoh Termasuk Bekas Menteri Sertai PAS

Perkembangan itu juga berlaku ketika PAS sedang menyusun semula kedudukan politiknya susulan keputusan menamatkan hubungan dengan Bersatu, selain mengukuhkan sokongan terhadap kepimpinan Datuk Seri Hamzah Zainudin sebagai Ketua Pembangkang.
Read More
Total
0
Share