Hamzah Utus Ucapan Takziah Kepada Emir Qatar, Sifatkan Hamad Negarawan Berwawasan

KUALA LUMPUR |13 Julai 26 – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin menzahirkan ucapan takziah kepada kerajaan dan rakyat Qatar susulan pemergian Bapa Emir Qatar, Sheikh Hamad bin Khalifa Al Thani, yang disifatkannya sebagai seorang negarawan berwawasan serta tokoh penting dalam pembangunan negara itu.

Menerusi sepucuk surat rasmi bertarikh 12 Julai 2026 yang ditujukan kepada Duta Besar Qatar ke Malaysia, Salah Mohammed Al Sorour, Hamzah menyampaikan ucapan takziah bagi pihak Ahli-ahli Parlimen Pembangkang Malaysia kepada Emir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani, keluarga diraja, kerajaan serta seluruh rakyat Qatar.

Menurut Hamzah, pemergian Sheikh Hamad merupakan satu kehilangan besar bukan sahaja kepada Qatar, malah kepada dunia Islam yang mendapat manfaat daripada kepimpinan dan sumbangan baginda.

Beliau menyifatkan Sheikh Hamad sebagai pemimpin yang memainkan peranan penting membangunkan Qatar moden sehingga muncul sebagai sebuah negara yang berpengaruh di peringkat global.

“Keilmuan, kebijaksanaan dan kepimpinan baginda telah mengubah Qatar menjadi sebuah negara yang disegani, di samping komitmen berterusan dalam memajukan dialog, diplomasi serta menggalakkan keamanan dan kestabilan,” katanya dalam surat berkenaan.

Utusan takziah tersebut sekali gus mencerminkan penghormatan Malaysia terhadap hubungan baik dengan Qatar serta pengiktirafan terhadap jasa dan legasi Allahyarham Sheikh Hamad bin Khalifa Al Thani di peringkat antarabangsa.

Sheikh Hamad bin Khalifa Al Thani, bekas pemerintah Qatar, diumumkan telah meninggal dunia ketika berusia 74, pada Ahad.

“Biro Emir berdukacita atas kehilangan besar kepada negara dengan pemergian Allahyarham. Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas rohnya,” menurut kenyataan rasmi tersebut.

Sheikh Hamad merupakan antara tokoh utama kerana berjaya mengubah ekonomi Qatar menjadi sebuah kuasa ekonomi global yang kaya hasil daripada rizab gas asli negara itu yang sangat besar. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share