
KUALA LUMPUR, 14 Julai – Ahli Jawatankuasa Pusat (AJP) Parti Wawasan Negara, Tan Tee Beng berpandangan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke kini berdepan dilema politik yang boleh memberi kesan besar terhadap masa depan parti itu, khususnya di Pulau Pinang.
Bekas Ahli Parlimen Nibong Tebal itu berkata dilaman facebook beliau, Anthony pada asalnya dipercayai merancang bertanding di Pulau Pinang bagi meredakan persaingan dalaman antara keluarga Lim dan penyokong Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, berhubung isu kepimpinan negeri.
Bagaimanapun, menurut beliau, perubahan landskap politik di Negeri Sembilan menyebabkan Anthony terpaksa kekal mempertahankan kerusinya di negeri itu.
“Dalam keadaan sekarang, Anthony berada dalam situasi serba salah. Jika beliau kalah di Negeri Sembilan, imej kepimpinannya sebagai Setiausaha Agung DAP akan terjejas dan memberi kesan kepada moral parti menjelang pilihan raya di negeri-negeri lain.
“Namun jika beliau menang, peluang untuk berpindah ke Pulau Pinang bagi menyelesaikan konflik dalaman DAP di negeri itu semakin tertutup,” katanya.
Tan berkata, kegagalan Anthony menangani pergeseran antara dua kem utama dalam DAP Pulau Pinang boleh menyebabkan krisis dalaman semakin meruncing sehingga menjejaskan kekuatan parti di negeri berkenaan.
Beliau turut mengingatkan bahawa perpecahan dalaman yang tidak dikawal boleh mengulangi nasib Gerakan yang kehilangan kuasa di Pulau Pinang pada pilihan raya 2008.
“Jika konflik ini terus berpanjangan tanpa penyelesaian, DAP berdepan risiko kehilangan kubu kuatnya sendiri,” katanya.
DAP kini dilihat berdepan hakisan kepercayaan apabila kemerosotan pengaruh yang begitu ketara dimana ketika PRN Sabah Disember lalu, DAP kalah di semua kerusi manakala di PRN Johor Sabtu lalu, DAP hanya memperolehi 6 kerusi dan hilang 4 kerusi. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.