
MELAKA | 15 Julai 26 – Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Dr. Mohd Yadzil Yaakub menegaskan bahawa bantuan kebajikan semata-mata bukan penyelesaian jangka panjang kepada kesejahteraan rakyat, sebaliknya kerajaan perlu memberi keutamaan kepada penyediaan peluang pekerjaan dan peningkatan pendapatan.
Dalam ucapan penangguhannya pada Persidangan DUN Melaka, beliau berkata bantuan sememangnya penting untuk meringankan beban rakyat, namun kebergantungan terhadap bantuan tidak seharusnya menjadi ukuran kejayaan sesebuah kerajaan.
“Bantuan adalah penting. Tetapi peluang adalah lebih penting,” katanya.
Menurut beliau, kasih sayang kerajaan terhadap rakyat tidak hanya boleh diukur melalui jumlah bantuan yang diumumkan, sebaliknya apabila rakyat mampu berdikari hasil pekerjaan yang baik, pendapatan yang mencukupi serta menikmati kehidupan yang lebih selesa.
Dr. Mohd Yadzil turut berpandangan bahawa kejayaan pentadbiran perlu dinilai berdasarkan keupayaannya menyelesaikan masalah asas rakyat seperti peluang pekerjaan, kos sara hidup dan pemilikan rumah, bukannya sekadar pengumuman dasar atau statistik pembangunan.
Beliau berkata kerajaan pada masa hadapan perlu memberi tumpuan kepada usaha mewujudkan lebih banyak peluang ekonomi berkualiti agar rakyat tidak terus bergantung kepada bantuan, sebaliknya mampu membina kehidupan yang lebih stabil dan mampan.
Penegasan itu dibuat sehari selepas Dewan Undangan Negeri Melaka meluluskan usul yang dibawa oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lantikan berkaitan usaha memperkasa kebajikan rakyat, sekali gus membuka perbahasan mengenai pendekatan terbaik dalam meningkatkan taraf hidup masyarakat.
Sementara itu, kedudukan wakil rakyat DAP di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka turut berubah apabila mereka kini mengambil tempat di blok pembangkang selepas parti itu mengumumkan keluar daripada kerajaan negeri. Tindakan tersebut dibuat susulan bantahan DAP terhadap usul yang dibawa oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lantikan, yang telah diluluskan Dewan pada persidangan sehari sebelumnya. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.