
SEREMBAN | 17 Julai 26 – Kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) melibatkan UMNO dan PAS di Negeri Sembilan disifatkan sebagai langkah awal ke arah penyatuan ummah menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Mantan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Isham Jalil berkata, kerjasama tersebut merupakan perkembangan penting selepas sekian lama kedua-dua parti bergerak secara berasingan.
Menurut beliau, kerjasama politik antara UMNO dan PAS di Negeri Sembilan mengingatkan kembali kepada sejarah pembentukan kerjasama politik Melayu sebelum ini, apabila parti-parti berkenaan bergabung menghadapi cabaran bersama.
“Ini adalah sejarah untuk kita pergi bersama-sama. Lama dah kita tak buat macam ini, atau mungkin tidak pernah dibuat selepas kita berpecah.
“Sekarang dua parti besar orang Melayu, PAS dan UMNO nampak bekerjasama di Negeri Sembilan. Dari segi semangat dan ideologi, rakyat sudah lama bercakap mengenai penyatuan ummah,” katanya.
Beliau berkata, selain faktor sentimen penyatuan, kerjasama tersebut juga mempunyai pertimbangan politik yang praktikal kerana pertembungan antara BN dan PN hanya akan memberi kelebihan kepada Pakatan Harapan (PH).
“Kalau BN lawan PN, yang untung ialah PH. Jadi daripada sudut praktikaliti, keputusan ini adalah rasional dan bijak.
“Untuk kita kalahkan PH yang merupakan kerajaan negeri di Negeri Sembilan dan kerajaan persekutuan, kita perlu bersatu padu,” katanya.
Isham berkata, pengalaman Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebelum ini menunjukkan bagaimana kerjasama dan sokongan undi Melayu menjadi faktor penting dalam menentukan keputusan pilihan raya.
Menurut beliau, di Johor, BN bergerak bersendirian dan PAS membantu kemenangan besar parti itu, manakala di Negeri Sembilan pula kerjasama diteruskan melalui pembahagian kerusi antara BN dan PN.
“Di Johor mereka pergi solo, PAS bantu menang besar. Kemudian di Negeri Sembilan sudah ada perkembangan dengan kerjasama dan pembahagian kerusi.
“Kita harap perkara ini akan menghasilkan keputusan yang baik,” katanya.
Beliau berkata, sekiranya formula kerjasama tersebut membuahkan hasil di Negeri Sembilan, ia berpotensi dikembangkan ke negeri lain termasuk Melaka sebelum dibawa ke peringkat Persekutuan menjelang PRU16.
“Apabila akar umbi kedua-dua pihak inginkan penyatuan ini dan nampak ia membuahkan hasil, saya nampak lebih cerahlah untuk kita buat penyatuan ummah di peringkat persekutuan dalam PRU16,” katanya.
Isham berkata, kerjasama antara UMNO dan PAS itu juga perlu dilihat sebagai usaha menyatukan kekuatan politik Melayu bagi menghadapi persaingan dengan gabungan politik lain.
Beliau turut menggesa pengundi supaya keluar menunaikan tanggungjawab pada pilihan raya akan datang.
Malam tadi, PN mengumumkan 11 lagi kerusi yang dikosongkan oleh BN yang mana ia melengkap 36 kerusi di PRN Negeri Sembilan, 1 Ogos ini. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.