
JOHOR BAHRU | 22 Julai 26 – Wawasan Negara Johor menyambut baik tindakan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Johor menerusi Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Imigresen Malaysia serta agensi berkaitan yang menjalankan siasatan terhadap operasi Network School di Forest City.
Penyelaras Majlis Pimpinan Negeri Johor, Datuk Zulkifli Bujang berkata, siasatan awal yang mendapati semua warga asing diperiksa memiliki dokumen perjalanan yang sah serta tidak menemukan bukti kehadiran warga Israel adalah perkembangan yang positif.
Bagaimanapun, beliau menegaskan siasatan tidak seharusnya terhenti setakat pemeriksaan dokumen perjalanan semata-mata, sebaliknya perlu diteruskan secara menyeluruh, profesional dan berasaskan fakta bagi menjawab segala persoalan yang dibangkitkan oleh rakyat.
“Malaysia tidak boleh berkompromi dalam soal keselamatan negara, integriti sistem imigresen dan kedaulatan undang-undang.
“Rakyat berhak mengetahui sama ada operasi ini turut mematuhi semua keperluan berkaitan pendaftaran institusi, pelesenan premis serta peraturan-peraturan lain yang berkuat kuasa,” katanya dalam satu kenyataan media.
Sehubungan itu, Wawasan Negara Johor menggesa Kerajaan Persekutuan menyelesaikan siasatan terhadap operasi Network School dengan segera serta mengumumkan hasilnya secara terbuka kepada rakyat.
Selain itu, parti berkenaan turut mencadangkan kerajaan memperkenalkan satu kerangka dasar dan garis panduan yang jelas bagi mana-mana komuniti antarabangsa atau startup society yang ingin beroperasi di Malaysia.
Menurut Zulkifli, langkah itu penting bagi memastikan setiap aktiviti yang dijalankan sentiasa mematuhi undang-undang negara serta menghormati kepentingan dan nilai masyarakat Malaysia.
Semalam, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) membatakan lesen perniagaan NSO Malaysia Sdn Bhd (Network School) di Forest City dan mengarahkan pemberhentian semua operasinya berkuat kuasa hari ini. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.