Wan Fayhsal Tegas Tolak Campur Tangan Ahli Kongres AS Dalam Dasar Luar Malaysia

KUALA LUMPUR | 24 Julai 26 – Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menegaskan Malaysia tidak akan menerima sebarang campur tangan asing dalam menentukan dasar luarnya, susulan surat daripada lapan Ahli Kongres Amerika Syarikat (AS) yang menggesa Washington mengkaji semula hubungan dengan Malaysia.

Dalam satu kenyataan media hari ini, Ketua Hal Ehwal Luar Ahli Parlimen Perikatan Nasional itu berkata dasar luar Malaysia ditentukan di Putrajaya, bukannya di Washington.

“Malaysia ialah sebuah negara berdaulat. Tiada badan perundangan asing berhak menentukan siapa yang kita benarkan masuk atau negara mana yang kita iktiraf,” katanya.

Wan Fayhsal merujuk kepada surat bertarikh 21 Julai lalu yang dihantar lapan Ahli Kongres AS kepada Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, berhubung pendirian Malaysia yang tidak mengiktiraf Israel serta sekatan terhadap warga Israel.

Beliau turut menegaskan sokongan Malaysia terhadap Palestin adalah kekal dan negara tidak akan menormalkan hubungan dengan Israel yang disifatkannya sebagai kuasa pendudukan.

Menurutnya, pendirian itu bukan bermaksud bersikap antisemitik, sebaliknya berasaskan solidariti terhadap rakyat Palestin dan prinsip undang-undang antarabangsa.

Wan Fayhsal berkata pendirian Malaysia juga perlu konsisten dalam aspek ekonomi dan pelaburan, dengan merujuk kepada tindakan negara terhadap pegangan BlackRock yang dikaitkan dengan Israel.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan supaya tidak tunduk kepada sebarang tekanan luar, termasuk ancaman terhadap pembiayaan International Military Education and Training (IMET).

Beliau turut menggesa kerajaan menilai semula semua bentuk kerjasama tidak langsung melibatkan pendidikan, latihan dan kerjasama teknikal yang berpotensi menjejaskan pendirian rasmi Malaysia terhadap Israel.

“MALAYSIA berdiri bersama Palestin. Secara terbuka. Tanpa sebarang permohonan maaf,” katanya mengakhiri kenyataan.

Baru-baru ini, lapan anggota Kongres Amerika Syarikat (AS) daripada Parti Demokrat menggesa pentadbiran Presiden AS menyemak semula hubungan keselamatan dan ekonomi dengan Malaysia. Gesaan itu dibuat menerusi sepucuk surat rasmi bertarikh 21 Julai 2026 yang dihantar kepada Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, diketuai oleh Ahli Kongres Greg Landsman dan Josh Gottheimer, serta ditandatangani enam lagi anggota Kongres Demokrat. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share