
SEREMBAN | 25 Julai 26 – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pertang, Datuk Seri Jalaluddin Alias menepis dakwaan bahawa PAS merupakan parti fanatik yang mengabaikan kepentingan masyarakat bukan Melayu hanyalah naratif lama yang terus dimainkan Pakatan Harapan (PH) bagi menimbulkan ketakutan dalam kalangan pengundi.
Beliau berkata, setiap kali wujud kerjasama atau persefahaman melibatkan PAS, naratif tersebut akan digunakan bagi membentuk persepsi negatif terhadap parti itu, khususnya dalam kalangan masyarakat bukan Melayu.
“Ini naratif lama yang dibawa oleh Pakatan Harapan dan pihak yang tidak bertanggungjawab untuk meletakkan stigma bahawa PAS ialah parti fanatik dan mengabaikan masa depan masyarakat bukan Melayu. Apabila wujud kerjasama atau persefahaman dengan PAS, perkara ini akan digunakan untuk menimbulkan rasa takut dalam kalangan masyarakat bukan Melayu. Saya katakan semua itu tidak betul,” katanya kepada media, semalam.
Menurut Jalaluddin, walaupun PAS belum mempunyai pengalaman mentadbir kerajaan Persekutuan, rekod pentadbirannya di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis menunjukkan tiada isu pergaduhan kaum atau diskriminasi terhadap masyarakat bukan Melayu.
Beliau berkata, PAS telah mentadbir Kelantan selama lebih 35 tahun dan sepanjang tempoh itu tidak pernah timbul dakwaan berhubung ketidakadilan terhadap masyarakat Cina, India mahupun Orang Asli.
“Kita tidak pernah dengar soal pergaduhan antara kaum berlaku di negeri-negeri ini. Kita juga tidak pernah dengar rungutan daripada kaum Cina, India dan masyarakat Orang Asli bahawa mereka menerima layanan yang tidak adil daripada kerajaan negeri yang dipimpin PAS,” katanya.
Jalaluddin berkata, berdasarkan rekod tersebut, dakwaan bahawa PAS mengabaikan kepentingan masyarakat bukan Melayu tidak berasas.
Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa kerjasama BN dan PAS mampu memberikan kebajikan serta perhatian yang adil kepada semua kaum di negara ini.
Dalam PRN Negeri Sembilan kali ini, BN dan PN telah membentuk kerjasama apabila BN meletakkan 25 calon manakala PN meletakkan 11 calon di kerusi ditandingi. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.