
KUALA LUMPUR, 11 Jul 25 – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim disaran bercuti bagi menghilangkan prejudis terhadap proses pelantikan hakim baharu, kata Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainuddin.
Timbalan Presiden Bersatu itu berkata, langkah itu dijangka mampu menghakis persepsi umum yang mengaitkan Anwar terlibat dalam menentukan kumpulan hakim berkenaan.
“Tindakan ini perlu dilakukan demi menjaga integriti, kebebasan dan kemuliaan institusi kehakiman negara.
“Perikatan Nasional (PN) menjunjung kasih ke atas titah Istana Negara yang mahukan isu pelantikan hakim ditangani dengan cermat dan berintegiriti, selaras dengan Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan.
Seorang perdana menteri interim boleh dilantik mengurus negara dalam tempoh Anwar bercuti, kata Hamzah.
Istana Negara sebelum ini menegaskan pelantikan hakim-hakim mahkamah atasan adalah urusan kenegaraan yang penting serta perlu ditangani secara cermat dan integriti selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.
Menurut Istana Negara, berdasarkan Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan, pelantikan hakim dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat perdana menteri setelah berunding dengan Majlis Raja-Raja.
Hamzah bagaimanapun berkata, dalam keadaan perdana menteri hari ini mempunyai konflik kepentingan peribadi adalah munasabah serta wajar untuk pelbagai pihak merasa curiga tentang wujudnya campur tangan politik dalam soal pelantikan hakim.
“Selain itu, beliau sendiri berdepan dengan beberapa saman sivil di mahkamah,” ujarnya. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.