
KUALA LUMPUR | 26 Julai 26 – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) menggesa semua pihak menilai kenyataan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berhubung “Tanah Melayu” secara rasional berdasarkan fakta sejarah dan kerangka Perlembagaan Persekutuan, bukannya dipengaruhi kepentingan politik semasa.
Ketua Penerangan PERKASA, Azrol Mansor berkata, polemik yang timbul susulan kenyataan Menteri Besar Kedah itu tidak sepatutnya dimanipulasi untuk meraih sokongan sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
“PERKASA berpandangan bahawa polemik yang timbul susulan kenyataan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengenai ‘Tanah Melayu’ perlu dinilai secara rasional berdasarkan fakta sejarah dan kerangka Perlembagaan Persekutuan, bukannya dimanipulasi untuk meraih sokongan politik sepanjang kempen PRN Negeri Sembilan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Azrol, hakikat sejarah tidak boleh dipadam kerana sebelum pembentukan Malaysia pada 1963, Semenanjung ini dikenali sebagai Persekutuan Tanah Melayu hasil pembentukan Persekutuan Tanah Melayu pada 1948 dan kemerdekaan yang dicapai pada 31 Ogos 1957.
“Fakta ini adalah sebahagian daripada sejarah negara dan tidak boleh dianggap sebagai kenyataan yang bersifat ekstrem semata-mata kerana ia dibangkitkan dalam wacana politik,” katanya.
Beliau berkata, sejarah tersebut juga tidak menafikan hak mana-mana warganegara kerana Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menjamin hak semua rakyat Malaysia, di samping memelihara kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, institusi Raja-Raja Melayu, Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan serta kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera.
Dalam pada itu, Azrol berkata, PERKASA kesal apabila terdapat pihak yang cuba memutarbelitkan perbahasan mengenai sejarah Tanah Melayu sehingga seolah-olah sesiapa yang mempertahankan fakta sejarah dilabel sebagai rasis.
Katanya, pendekatan sedemikian hanya akan mengeruhkan hubungan antara kaum dan mengalih perhatian rakyat daripada perbincangan yang matang berasaskan fakta.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak supaya tidak menjadikan sejarah sebagai alat propaganda politik.
“Sejarah perlu difahami dalam konteks yang betul, manakala perpaduan negara hendaklah terus dipelihara berasaskan semangat Perlembagaan dan saling menghormati antara semua rakyat Malaysia,” katanya.
Beliau berkata, mempertahankan fakta sejarah bukan bermaksud menafikan hak mana-mana kaum, sebaliknya memastikan identiti dan asas pembentukan negara terus difahami serta dihormati oleh seluruh rakyat Malaysia.
Hingga kini, semakin ramai pihak mempertahankan kenyataan Menteri Besar Kedah, Sanusi Md Noor apabila beliau mengangkat fakta sejarah tentang Tanah Melayu merupakan leluhur bagi bangsa Melayu.
Ramai berpendapat bahawa kenyataan Sanusi tidak mengandungi apa-apa unsur perkauman seperti dakwaan sesetengah pihak. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.