Fakta Sejarah Tidak Boleh Dipadam, Jangan Dipolitikkan Demi Ambil Hati Pihak Tertentu

KUALA LUMPUR | 28 Julai 2026 – Mantan Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee menyifatkan polemik yang tercetus susulan kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengenai “Tanah Melayu” sebagai contoh bagaimana fakta sejarah cuba dikaburkan demi kepentingan politik.

Menerusi satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook pada 26 Julai lalu, beliau berkata fakta sejarah tidak boleh dipadam atau dipolitikkan semata-mata kerana terdapat pihak yang tidak selesa untuk menerima hakikat sejarah negara.

Menurut Syed Ali, beliau berasa kesal melihat kecenderungan segelintir pemimpin politik yang didakwa lebih mengutamakan kedudukan sehingga sanggup memutarbelitkan isu-isu tertentu demi mengambil hati pihak berkepentingan.

“Saya tidak nampak bagaimana ucapan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkait Tanah Melayu ditafsirkan oleh pihak tertentu sebagai berbau politik dan perkauman,” katanya.

Beliau berpandangan kenyataan Sanusi bahawa Tanah Melayu merupakan satu-satunya tanah air orang Melayu perlu dilihat dalam konteks sejarah dan bukannya dimanipulasi untuk kepentingan politik semasa.

Syed Ali turut mengingatkan bahawa sejarah kemasukan masyarakat Cina dan India ke Tanah Melayu pada zaman penjajahan British merupakan fakta yang pernah diajar dalam sistem pendidikan negara, apabila buruh dari China dibawa masuk untuk bekerja di lombong bijih timah manakala buruh dari India ditempatkan di ladang getah bagi memenuhi keperluan ekonomi kolonial.

Katanya, latar belakang sejarah tersebut tidak wajar dipadam atau diketepikan hanya kerana bimbang menyinggung mana-mana pihak.

Beliau pada masa sama menegaskan kenyataannya bukan bertujuan memihak kepada Sanusi, sebaliknya mengajak semua pihak supaya tidak menjadikan setiap isu berkaitan sejarah sebagai polemik politik.

“Saya tidak menyokong dan memihak kepada hujahan Sanusi tetapi saya mengajak semua pihak terutama pemimpin Melayu agar jangan semua isu hendak dipolitikan berlebih-lebihan hanya untuk mengambil hati orang bukan Melayu atau pihak yang berkepentingan,” katanya.

Syed Ali turut mempersoalkan tindakan segelintir pemimpin Melayu yang lantang mengkritik kenyataan Sanusi, sambil menyifatkan mereka lebih cenderung berhujah atas tafsiran tertentu tanpa meneliti konteks sejarah yang dibangkitkan.

Beliau turut menggesa pemimpin Melayu supaya terus mempertahankan hak dan sejarah negara secara jujur serta bertanggungjawab, sambil menegaskan bahawa mempertahankan fakta sejarah tidak seharusnya dianggap sebagai satu tindakan berbaur perkauman. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share