
KUALA LUMPUR | 28 Julai 2026 – Ahli Parti Wawasan Negara Hulu Langat, Faiz Rahmad berkata Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan menjadi medan penting untuk golongan muda menyatakan keresahan mereka terhadap hala tuju politik dan ekonomi negara, sambil mendakwa semakin ramai anak muda cenderung menyokong kerjasama Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN).
Menurut beliau, terdapat empat faktor utama yang mendorong kecenderungan tersebut, iaitu keinginan melihat penyatuan Melayu dan Islam yang lebih kukuh, hasrat mengembalikan dominasi kuasa politik kepada kelompok majoriti Melayu-Bumiputera, kekecewaan terhadap manifesto pilihan raya yang tidak ditunaikan serta tekanan akibat peningkatan kos sara hidup.
Faiz berkata anak muda hari ini semakin sedar bahawa perpecahan politik hanya merugikan bangsa dan negara, sebaliknya mereka menginginkan penyatuan Melayu di bawah satu payung kepimpinan yang mampu mengembalikan kestabilan politik.
Beliau turut berpandangan demokrasi yang sihat perlu mencerminkan realiti demografi negara, dengan kepimpinan majoriti Melayu-Bumiputera disifatkan penting bagi menjamin kestabilan sosial serta memelihara hak dan kebajikan semua kaum.
“Generasi muda kini sudah letih dan muak ditipu oleh manifesto manis yang ditabur menjelang pilihan raya. Janji-janji melangit yang akhirnya dimungkiri sebaik sahaja memperoleh kuasa telah menimbulkan rasa kecewa yang mendalam.” Katanya ketika mengulas mengeni manifesto pilihan raya PH.
Katanya, golongan muda tidak lagi mahu disajikan dengan retorik politik atau janji yang sukar dilaksanakan, sebaliknya mengharapkan sebuah pentadbiran yang berintegriti, realistik dan berpijak di alam nyata.
Menurut beliau, peningkatan kos sara hidup turut menjadi antara faktor utama yang membentuk sentimen pengundi muda, apabila kenaikan harga barangan keperluan, bil utiliti dan beban harga bahan api memberi kesan langsung kepada kehidupan seharian mereka.
“Anak muda sudah muak menanggung derita ekonomi akibat dasar-dasar yang canggung dan tidak berkesan. Sokongan kepada PN dan BN di Negeri Sembilan adalah signal jelas bahawa perubahan polisi ekonomi yang lebih pro-rakyat perlu dilaksanakan segera,” katanya.
Beliau berkata PRN Negeri Sembilan kali ini bukan sekadar memilih wakil rakyat, malah menjadi penentu sama ada negeri itu akan terus berada dalam ketidakpastian atau kembali kepada landasan yang lebih stabil.
“PRN Negeri Sembilan kali ini adalah medan terbaik untuk anak muda menghantar mesej tegas kepada pemerintah. Pilihan di tangan generasi muda hari ini akan menentukan sama ada negara terus berada dalam ketidakpastian atau kembali ke trek kestabilan demi masa depan yang lebih terjamin,” katanya. @politiko.my