
MELAKA | 1 Ogos 26 – Ketua Pembangkang DUN Melaka, Datuk Mohd Yadzil Yaakub menyambut baik kenyataan Pengerusi Barisan Nasional (BN) yang menyatakan keterbukaan untuk meneruskan perbincangan mengenai kerjasama antara BN dan Perikatan Nasional (PN) di negeri itu.
Beliau menyifatkan kenyataan tersebut sebagai satu perkembangan yang positif dalam landskap politik semasa yang memerlukan kebijaksanaan untuk mencari titik persamaan demi kepentingan rakyat.
“Politik hari ini menuntut kebijaksanaan untuk mencari titik persamaan, bukannya terus memperbesarkan perbezaan. Apa jua bentuk persefahaman yang mampu membawa kestabilan politik dan memberi manfaat kepada rakyat wajar diberikan pertimbangan yang sewajarnya,” katanya di facebook hari ini.
Menurut beliau, Melaka mempunyai asas yang kukuh untuk menjayakan kerjasama tersebut kerana BN dan PN memiliki sokongan yang hampir seimbang serta berkongsi aspirasi dalam memperjuangkan kepentingan agama, bangsa dan negara.
Katanya, budaya bermusyawarah dan persefahaman politik antara kedua-dua gabungan tidak sepatutnya dilihat sebagai sesuatu yang perlu dibimbangi, sebaliknya boleh menjadi satu kekuatan baharu bagi menjamin masa depan negeri dan negara.
Mohd Yadzil turut menegaskan bahawa BN tidak perlu meragui keikhlasan PN dalam usaha membina persefahaman politik.
“Sepanjang usaha membina persefahaman ini, PN sentiasa menunjukkan kesediaan untuk berbincang secara terbuka dan meletakkan kepentingan rakyat mengatasi kepentingan politik sempit,” katanya.
Beliau turut berpandangan bahawa agenda penyatuan politik Melayu dan Bumiputera tidak seharusnya terhad kepada Negeri Sembilan atau Melaka semata-mata, sebaliknya perlu diperluaskan sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Menurutnya, penyatuan itu merupakan satu ikhtiar untuk membentuk sebuah kerajaan yang lebih kukuh, stabil serta mendapat keyakinan rakyat. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.