
KUALA LUMPUR | 1 Ogos 26 – Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Abdul Samad mendakwa sentimen ketakutan terhadap DAP menjadi faktor yang mempengaruhi corak pengundian masyarakat Melayu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, sehingga isu prestasi kerajaan tidak lagi menjadi pertimbangan utama.
Menurut beliau, kempen Pakatan Harapan (PH) yang berasaskan rekod prestasi kerajaan tidak mendapat sambutan seperti diharapkan kerana ia ditenggelami politik identiti yang dimainkan sepanjang kempen.
“Walaupun Tok Min mengatakan dia tidak kecewa dan sebagainya, saya ingin menyatakan kekecewaan kerana kempen PH yang berasaskan prestasi yang telah ditunjukkan tidak mendapat sambutan.
“Dan apa yang menjadi isu yang terbesar seperti mana yang disebutkan tadi Ialah isu politik identiti,” katanya dalam sidang media yang disiarkan oleh Awani.
Khalid mendakwa, antara naratif yang mempengaruhi pengundi ialah dakwaan bahawa orang Melayu perlu bersatu bagi menghadapi ancaman daripada DAP.
“Orang Melayu perlu bersatu untuk menghadapi ancaman, khususnya daripada DAP. Dikatakan Menteri Besar pun dalam tangan DAP, Yang di-Pertuan Besar pun dalam tangan DAP.
“Ini menyebabkan orang Melayu khususnya mengundi berdasarkan sentimen takut kepada ancaman, kononnya ancaman DAP. Persoalan prestasi langsung tidak diberikan perhatian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas keputusan PRN Negeri Sembilan yang menyaksikan PH gagal mempertahankan pentadbiran negeri.
Menurut Khalid, keputusan itu mengecewakan kerana beliau percaya rekod pentadbiran kerajaan negeri sepatutnya menjadi faktor utama dalam menentukan pilihan pengundi, namun isu tersebut telah diketepikan oleh naratif politik identiti sepanjang kempen. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.