
KUALA LUMPUR | 5 Ogos 2026 — Ahli Majlis Tertinggi Wawasan Negara, Tan Tee Beng, menolak dakwaan bahawa Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) memainkan sentimen perkauman dalam kempen politik, sebaliknya mendakwa isu tersebut lebih banyak dimainkan oleh pihak yang mahu mengalihkan perhatian daripada kelemahan pentadbiran kerajaan.
Menurut beliau, sepanjang tempoh kempen pilihan raya, PN dan BN tidak pernah menjadikan isu kaum sebagai bahan utama, kecuali kontroversi membabitkan kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang menurutnya telah disalah tafsir.
“Siapa yang memainkan isu perkauman? Saya fikir gambaran ini sangat jelas. BN dan PN tidak pernah membangkitkan apa-apa berkaitan kaum, kecuali kenyataan daripada Sanusi,” katanya kepada politiko.
Walau bagaimanapun, Tan Tee Beng berkata, terdapat pihak yang kemudiannya menghasilkan video penjelasan bagi menjelaskan bahawa kenyataan Sanusi berlaku akibat salah faham, namun penjelasan tersebut tidak mendapat perhatian meluas khususnya dalam kalangan masyarakat Cina.
“Ia telah menjadi tular dalam komuniti Cina, video itu sebenarnya adalah daripada ucapan Sanusi, dan masyarakat Cina telah membuat suntingan untuk menjelaskan salah faham orang ramai terhadap kenyataan tersebut,” katanya.
Tan Tee Beng yang juga mantan Ahli Parlimen Nibong Tebal berkata, berdasarkan pengalaman beliau berinteraksi dengan rakyat biasa, masyarakat Melayu, Cina dan India tidak mempunyai masalah antara satu sama lain, sebaliknya ketegangan sering tercetus akibat permainan politik.
“Saya baru-baru ini menaiki Grab dengan seorang pemandu wanita Melayu. Kami berbincang mengenai apa yang sebenarnya dirasai oleh rakyat di peringkat bawah tentang keadaan semasa negara. Beliau berkata tidak mempunyai masalah dengan masyarakat Cina atau India. Dan sebagai seorang Cina, saya juga tidak mempunyai masalah dengan orang Melayu,” katanya.
Menurut beliau, jika kitaran politik yang memainkan isu kaum dan agama tidak dihentikan, negara akan berdepan kesukaran pada masa hadapan, termasuk memberi kesan kepada generasi akan datang.
“Saya fikir semua ini adalah isu yang dimainkan oleh ahli politik. Jika kita tidak keluar daripada kitaran ini, kita akan menghadapi masa depan yang sangat sukar untuk anak-anak kita atau bahkan ketika kita masih hidup,” katanya.
Dalam masa sama, Tan Tee Beng mendakwa punca utama kekalahan Pakatan Harapan (PH) bukan disebabkan isu perkauman, sebaliknya kegagalan kerajaan memenuhi harapan rakyat sepanjang mentadbir negara.
Menurut beliau, rakyat semakin kecewa kerana masih belum melihat perubahan besar seperti yang dijanjikan sebelum ini.
“Kegagalan itu adalah kegagalan PH mentadbir negara ketika mereka berada dalam kerajaan Persekutuan. Rakyat sudah bosan dengan janji dan pembohongan. Apakah reformasi yang telah mereka lakukan kepada negara setakat ini? Tiada. Selain cukai, kenaikan harga dan isu-isu lain,” katanya.
Tan Tee Beng berkata, kerajaan perlu menjawab persoalan rakyat mengenai janji reformasi yang pernah dibawa sebelum ini, bukannya menggunakan isu perkauman dan agama sebagai perdebatan politik.
Beliau menegaskan bahawa isu sebenar yang membebankan rakyat adalah berkaitan kos sara hidup, dasar kerajaan dan tahap keyakinan terhadap pentadbiran, bukannya hubungan antara kaum. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.