
KUALA TERENGGANU | 9 Ogos 26 – Parti Wawasan Negara (WAWASAN NEGARA) Terengganu membuka pintu kepada pemimpin dan ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang telah meletakkan jawatan untuk meneruskan perjuangan politik bersama wadah baharu itu.
Penyelaras WAWASAN NEGARA Terengganu, Datuk Abdul Aziz Ismail, berkata keterbukaan itu selaras dengan hasrat parti untuk membina gerakan politik yang lebih inklusif berteraskan gagasan Konsensus Nasional Baharu.
Menurut beliau, politik Malaysia perlu bergerak melangkaui perbezaan dalaman dan pergolakan semasa dengan memberi tumpuan kepada kepentingan rakyat serta masa depan negara.
“Keterbukaan kami ini lahir daripada keyakinan bahawa politik Malaysia perlu bergerak melangkaui perbezaan dalaman atau pergolakan semasa, dengan melihat kepada bigger picture iaitu masa depan rakyat dan negara,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Abdul Aziz berkata, pendirian tersebut turut bertepatan dengan seruan Presiden WAWASAN NEGARA, Datuk Seri Hamzah Zainudin, ketika Mesyuarat Khas Perwakilan parti malam tadi supaya rakan-rakan pimpinan BERSATU yang telah meninggalkan parti itu meneruskan perjuangan bersama WAWASAN NEGARA.
Beliau berkata, WAWASAN NEGARA mahu berperanan sebagai jambatan penyatuan dengan menyediakan ruang untuk menghimpunkan pengalaman, tenaga dan kekuatan pelbagai pihak.
“Sebagai parti yang menjadi jambatan penyatuan, WAWASAN NEGARA mahu membuka ruang untuk menyatukan pengalaman, tenaga dan kekuatan semua pihak yang percaya bahawa politik Malaysia memerlukan pendekatan lebih matang, inklusif dan berteraskan kepentingan rakyat,” katanya.
Menurutnya, pendekatan itu menjadi sebahagian daripada usaha WAWASAN NEGARA untuk menawarkan wadah politik baharu yang tidak terikat dengan pergolakan dalaman parti, sebaliknya memberi keutamaan kepada kepentingan rakyat dan negara.
Baru-baru ini, 3 pemimpin kanan BERSATU Terengganu meletakkan jawatan. Antara yang melepaskan jawatan ialah Ketua Badan Pimpinan BERSATU Terengganu, Datuk Razali Idris, ADUN Telemong, Mohd Zawawi Ismail yang juga Ketua Penerangan BERSATU Terengganu, serta ADUN Hulu Besut, Mohd Husaimi Hussin yang berundur daripada jawatan Bendahari BERSATU negeri. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.