
KUALA LUMPUR | 10 Ogos 26 — Perikatan Nasional (PN) mengambil pendekatan menunggu perkembangan daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) berhubung laporan yang dibuat oleh beberapa Ahli Parlimen Bersatu mengenai keabsahan struktur kepimpinan dan pembahagian kuasa dalam parti itu.
Pengerusi PN, Datuk Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, isu tersebut perlu dilihat berdasarkan sejauh mana keabsahan kepimpinan BERSATU dipertikaikan oleh ROS susulan laporan berkenaan.
“Walaupun mungkin isu keberadaan Perikatan Nasional ini agak unik sedikit oleh kerana ada laporan daripada beberapa orang Ahli Parlimen Bersatu sendiri ke ROS tentang keabsahan kedudukan kepimpinan dan jawatankuasa Bersatu,” katanya ketika ditemui media.
Menurut beliau, PN mahu melihat terlebih dahulu perkembangan isu tersebut di peringkat ROS sebelum mengambil sebarang langkah berkaitan.
“Jadi, oleh kerana itu, kita juga ingin melihatlah setakat mana keabsahan itu dipertikaikan oleh ROS,” katanya.
Bagaimanapun, Samsuri menegaskan isu berkenaan tidak mengubah keutamaan utama PN ketika ini, khususnya dalam menghadapi pilihan raya negeri (PRN) Melaka yang bakal menjadi medan politik terdekat.
“Saya rasa yang menjadi prioriti nombor satu dalam Perikatan Nasional sekarang ini ialah bagaimana untuk memastikan kita memenangi kerusi sebanyak mungkin dalam pilihan raya di Melaka,” katanya.
Beliau berkata tumpuan PN kini adalah kepada pilihan raya yang paling hampir sebelum menghadapi pilihan raya di peringkat Persekutuan.
“Yang paling hampir dan tentunya peringkat federal. Jadi tidak ada perkara lain lagi yang dalam agenda untuk dibincangkan lain daripada itu,” katanya.
Kenyataan Samsuri itu dilihat menunjukkan PN memilih untuk tidak membuat sebarang kesimpulan awal berhubung pertikaian dalaman Bersatu, sebaliknya menyerahkan persoalan keabsahan kepimpinan parti tersebut untuk diperhatikan berdasarkan perkembangan daripada ROS.
Dalam masa sama, PN mahu memastikan isu berkenaan tidak mengalih tumpuan parti daripada sasaran politiknya untuk mencatat keputusan terbaik dalam PRN Melaka. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.