PN Minta Sidang RCI Tabung Haji Ditangguh Hingga Kesihatan Anwar Pulih

KUALA LUMPUR | 10 Ogos 26— Perikatan Nasional (PN) meminta Sidang Khas Parlimen bagi membentangkan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Tabung Haji yang dijadualkan esok ditangguhkan sehingga Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pulih dan dapat kembali bertugas seperti biasa.

Ketua Whip Ahli Parlimen PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, permohonan itu dibuat susulan perkembangan terkini berhubung keadaan kesihatan Anwar.

Menurutnya, PN telah menghantar surat rasmi kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, bagi memohon penangguhan sidang berkenaan.

“PN mencadangkan agar Sidang Khas Parlimen yang dijadualkan pada 11 Ogos bagi membentangkan laporan RCI berkaitan Tabung Haji ditangguhkan ke suatu tarikh yang lebih sesuai susulan perkembangan terkini membabitkan keadaan kesihatan YAB Perdana Menteri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Takiyuddin berkata, isu Tabung Haji merupakan perkara yang sangat penting kerana melibatkan kepentingan awam.

Justeru, katanya, adalah amat wajar sekiranya pembentangan laporan RCI itu dibuat sendiri oleh Anwar selepas beliau kembali sihat.

“YAB Perdana Menteri sendiri telah membangkitkan perkara ini kepada pengetahuan umum ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, sedangkan laporan RCI tersebut telah tersedia sejak beberapa tahun yang lalu,” katanya.

Beliau berkata, kehadiran Anwar sendiri di Dewan Rakyat bagi membentangkan dan memberikan penjelasan berhubung laporan berkenaan amat signifikan dari sudut ketelusan dan akauntabiliti.

Malah, katanya, rakyat juga wajar mendapat penjelasan yang menyeluruh dan komprehensif mengenai perkara yang pernah dibangkitkan oleh Perdana Menteri sendiri sebelum ini.

Takiyuddin berkata, surat permohonan penangguhan itu telah diterima secara rasmi oleh pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat pada hari ini, 10 Ogos.

Dalam pada itu, PN turut mendoakan agar Anwar dan Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof, dikurniakan kesembuhan segera agar dapat kembali bertugas seperti biasa.

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share