PAC dan Ketua Audit Negara Perlu Siasat Urus Niaga FGV – Tokoh Media

KUALA LUMPUR, 1 Sep 25 – Wartawan veteran dan tokoh media, Datuk A. Kadir Jasin, menggesa supaya Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dan Ketua Audit Negara menjalankan audit forensik terhadap Felda Global Ventures Holdings (FGV) selepas syarikat perladangan itu dinyahsenarai daripada Bursa Malaysia pada 28 Ogos lalu.

Dalam kenyataan yang disiarkan menerusi kolum mingguannya di Sinar Harian, Kadir menyifatkan proses nyahsenarai itu berlaku dalam keadaan yang “meragukan” dan wajar disemak semula bagi memberi gambaran jelas mengenai perjalanan korporat FGV sejak ditubuhkan pada 2007, khususnya selepas disenaraikan di Bursa Malaysia pada 28 Jun 2012.

“Ketika disenaraikan, ia diuar-uarkan sebagai tawaran awam permulaan (IPO) kedua terbesar di dunia selepas Facebook. Malah sahamnya pernah melonjak hingga RM4.84 pada 6 Julai 2012, dengan modal pasaran hampir RM20 bilion. Tetapi bulan madu itu tidak kekal lama,” katanya.

Menurut Kadir, kejatuhan harga saham FGV yang pernah mencecah 70 sen pada Disember 2018 menyebabkan ramai pelabur jangka panjang mengalami kerugian besar.

Sehari sebelum dinyahsenarai, modal pasaran FGV tinggal sekitar RM4.74 bilion, jauh lebih rendah berbanding syarikat perladangan lain seperti Sime Darby Plantation (RM34.51 bilion) dan Kuala Lumpur Kepong Berhad (RM22.02 bilion).

Walaupun operasi perniagaan FGV mencatat keuntungan hampir setiap tahun, katanya, syarikat itu gagal mengekalkan keyakinan pelabur.

Tambahnya, lebih membimbangkan, Felda turut mengalami kerugian besar ekoran pelaburan dalam Eagle High Plantations TBK, syarikat perladangan di Indonesia yang dikaitkan dengan rakan rapat bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Tan Sri (Kehormat) Peter Sondakh.

“Felda menderita kerugian tidak direalisasikan sebanyak hampir RM1.13 bilion pada 2018 dan peruntukan susut nilai sebanyak RM1.58 bilion pada 2019,” katanya.

Sehubungan itu, Kadir menegaskan bahawa PAC dan Ketua Audit Negara perlu menyiasat semua urus niaga serta pelaburan yang merugikan Felda, khususnya pada era pentadbiran Najib.

“Bedah siasat terhadap FGV adalah wajar agar rakyat dan peneroka memahami bagaimana sebuah syarikat yang pernah dibanggakan kini terpaksa meninggalkan Bursa Malaysia dalam keadaan yang mengecewakan,” katanya lagi.

FGV Holdings Berhad telah pun dinahasenaraikan secara rasmi daripada Pasaran Utama Bursa Malaysia mulai 9 pagi pada 28 Ogos 2025 lalu. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share