“Perak Bukan Johor, Perak Bukan Negeri Sembilan” – Pemuda MCA Persoal Sindiran Kor Ming

KUALA LUMPUR | 11 Ogos 26 – Kenyataan Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming bahawa “Perak bukan Johor, Perak bukan Negeri Sembilan” ketika menghadiri Majlis Makan Malam Perdana Ulang Tahun ke-60 DAP di Buntong, Perak, mengundang persoalan sama ada beliau sedang menyindir kepimpinan DAP di kedua-dua negeri berkenaan.

Ketua Penerangan Pemuda MCA Kebangsaan, Neow Choo Seong mempersoalkan sama ada kenyataan Nga itu mempunyai kaitan dengan keputusan pilihan raya di Johor dan Negeri Sembilan yang menyaksikan DAP kehilangan beberapa kerusi.

“Perak bukan Johor, Perak bukan Negeri Sembilan. Di Perak kita raikan kepelbagaian dan perpaduan bersama PH. Di sini akan bermula gelombang merah dan tsunami rakyat,” kata Nga dalam majlis tersebut.

Menurut Neow, kenyataan berkenaan menimbulkan persoalan sama ada Nga sedang membuat perbandingan antara prestasi DAP Perak dengan DAP di Johor dan Negeri Sembilan.

“Adakah beliau menyindir Pengerusi DAP Johor, Teo Nie Ching dan Pengerusi DAP Negeri Sembilan sebelum meletakkan jawatan, Anthony Loke, susulan kekalahan mereka di Johor dan Negeri Sembilan?

“Adakah tiada kesepakatan PH di kedua-dua negeri tersebut?” katanya menerusi kenyataan di media sosial.

Neow berkata setiap pemimpin berhak bersikap optimis terhadap peluang parti masing-masing, termasuk keyakinan Nga bahawa DAP Perak mampu mencatat prestasi lebih baik.

Namun katanya, keputusan pilihan raya di beberapa negeri menunjukkan DAP juga berdepan cabaran untuk mengekalkan sokongan rakyat.

Beliau mendakwa dalam PRN Sabah, DAP bertanding lapan kerusi namun tidak memenangi mana-mana kerusi.

Di Johor pula, katanya, DAP bertanding 17 kerusi dan memenangi enam, manakala di Negeri Sembilan DAP memenangi sembilan daripada 11 kerusi yang ditandinginya.

“Memang benar Perak bukan Johor, mahupun Negeri Sembilan.

“Akan tetapi, saya yakin bahawa rakyat Perak juga pandai menilai apa yang diperkatakan, serta apa yang telah dilaksanakan oleh Nga Kor Ming dan DAP sejak mengambil alih tampuk pemerintahan pada 2018,” katanya.

Neow turut mempersoalkan rekod pentadbiran DAP di Perak dengan membangkitkan isu projek MyKiosk, termasuk dakwaan berkaitan kos antara RM15,000 hingga RM25,000 bagi setiap unit, pelantikan kontraktor dan kadar pengisian kiosk.

“Selain projek kontroversi MyKiosk yang memakan kos terlampau besar, pelantikan kontraktor yang tidak telus serta kadar pengisian MyKiosk yang didakwa kurang, apa lagi sumbangan Nga Kor Ming kepada masyarakat?” soalnya.

Dalam pada itu, Neow turut mencabar DAP Perak menjelaskan naratif politik yang akan dibawa menjelang pilihan raya negeri akan datang.

Beliau mempersoalkan sama ada DAP Perak akan terus menggunakan isu seperti “bebas Najib” dan “gelombang hijau” yang sebelum ini menjadi antara naratif kempen politik PH dalam pilihan raya negeri di negeri-negeri lain.

Bagaimanapun, Neow berkata MCA sendiri tidak menafikan bahawa parti itu masih mempunyai tugas besar untuk mendapatkan semula sokongan pengundi, khususnya masyarakat Cina.

“Sebagai pemimpin peringkat Pemuda MCA, saya akui parti MCA masih belum bangkit sepenuhnya.

“Kami tahu bukan mudah untuk mengembalikan sokongan 95 peratus pengundi Cina kepada MCA. Kami sedar kami masih belum mendapat sokongan sepenuhnya terutama daripada masyarakat Cina,” katanya.

Menurut beliau, kelemahan itu menjadi sebab MCA perlu melakukan muhasabah dan terus bekerja bagi mendapatkan semula kepercayaan pengundi.

Pada masa sama, Neow mendakwa MCA tidak akan menggunakan fitnah atau hasutan perkauman semata-mata untuk mendapatkan undi.

“Apa guna mendapat kuasa dengan cara menggadai perpaduan masyarakat majmuk dan menyebabkan negara tidak stabil?” katanya. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share