Penganalisis: BERSATU Menuju Laluan Berbahaya, Pemecatan Hamzah Bukti Parti Kian Rapuh

KUALA LUMPUR | 14 Feb 26 – Kemelut dalaman Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) kini dilihat memasuki fasa paling genting apabila kuasa Presiden dan Majlis Pimpinan Tertinggi (MKT) digunakan untuk memecat serta menggantung keahlian pemimpin utama parti.

Penganalisis politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr Malike Brahim, menegaskan tindakan sedemikian bukan membawa pengukuhan, sebaliknya mempercepatkan kelemahan parti.

Menurut beliau, langkah drastik itu mungkin memberi kelegaan kepada kem Presiden, namun ia mencerminkan kegagalan mengurus persaingan dalaman secara matang.

“Parti sedang menghala kepada kelemahan, bukan kekuatan. Hanya Presiden dan kelompok yang bersekutu dengannya akan berasa selesa apabila pesaing yang sangat menggugat disingkirkan,” katanya.

Malike berpandangan, dari sudut kem Muhyiddin Yassin, tindakan tersebut dianggap penyelesaian kepada krisis yang berlarutan. Namun bagi kem Hamzah Zainudin, ruang dalam parti dilihat semakin tertutup.

Beliau menegaskan, jika Hamzah dan penyokongnya mahu terus relevan menjelang PRU16, pilihan mereka semakin terhad – sama ada menubuhkan parti baharu atau menyertai blok lain seperti Muafakat Nasional sekiranya dipelawa. Menyertai parti sedia ada pula disifatkan berisiko kerana peluang untuk dicalonkan amat tipis.

Malike turut memberi amaran bahawa BERSATU di bawah kepimpinan Muhyiddin perlu mencari formula baharu untuk kekal relevan dalam politik nasional. Tanpa sokongan Parti Islam Se-Malaysia (PAS), laluan parti itu dalam PRU16 disifatkan “sangat berliku”.

Sementara itu, penganalisis politik Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Madya Dr Mazlan Ali, menjangkakan Hamzah tidak akan berdiam diri. Beliau berpendapat Hamzah berkemungkinan mengumpulkan Ahli Parlimen, pemimpin parti dan ketua bahagian yang setia bagi memberi tekanan balas terhadap Muhyiddin.

Mazlan turut menjangka Hamzah akan berusaha mendapatkan sokongan PAS, memandangkan parti itu merupakan komponen terbesar dalam Perikatan Nasional dan dilihat mempunyai kecenderungan tertentu dalam persaingan dalaman Bersatu.

“Proses ini akan mengambil masa. Jika Hamzah memutuskan untuk bergerak secara berasingan, menubuhkan parti baharu adalah pilihan yang realistik,” katanya.

Perkembangan ini menandakan pertembungan dua kem dalam BERSATU bukan lagi sekadar percaturan dalaman, tetapi berpotensi mengubah peta politik pembangkang menjelang PRU16 – dengan risiko terbesar ialah parti itu sendiri semakin terhakis pengaruhnya. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share