RM50 Juta Setiap Dua Tahun, Langkawi Perlukan ‘Lebuh Raya Laut’ – Wawasan Negara

KUALA LUMPUR | 11 Ogos 26 – Masalah berulang membabitkan perkhidmatan feri, pemendapan alur pelayaran dan kerja pengerukan di laluan ke Langkawi tidak lagi boleh dilihat sebagai isu operasi semata-mata, sebaliknya memerlukan penyelesaian infrastruktur jangka panjang.

Naib Presiden Parti Wawasan Negara, Datuk Omar Mustapha berkata, Langkawi memerlukan sistem perhubungan laut yang berfungsi seperti “lebuh raya laut”, dengan perkhidmatan berfrekuensi tinggi sepanjang hari untuk membawa penumpang, kereta, bas, lori dan barangan komersial antara pulau itu dengan tanah besar.

Menurut beliau, isu utama bukan lagi berapa banyak perjalanan feri perlu ditambah atau berapa kali alur pelayaran perlu dikorek, tetapi apakah sistem perhubungan laut yang diperlukan Langkawi untuk tempoh 30 tahun akan datang.

“Laut tidak sepatutnya memutuskan rangkaian jalan raya negara. Laut perlu menjadi sebahagian daripadanya,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Omar berkata, perbandingan dengan Koh Samui di Thailand wajar dibuat dari sudut standard kejuruteraan dan tahap perkhidmatan infrastruktur, bukannya identiti pelancongan.

Beliau berkata kedua-dua Langkawi dan Koh Samui merupakan pulau pelancongan utama, mempunyai lapangan terbang antarabangsa dan bergantung kepada perkhidmatan feri serta RoRo untuk menghubungkan penduduk, pelancong dan aktiviti ekonomi dengan tanah besar.

Menurut perbandingan yang dikemukakannya, pada hari biasa terdapat kira-kira 10 perjalanan dari tanah besar ke Langkawi, namun hanya empat daripadanya merupakan perkhidmatan RoRo.

Sebaliknya, laluan Don Sak ke Koh Samui didakwa mempunyai sekitar 33 perjalanan sehari, termasuk 30 perkhidmatan RoRo dan tiga feri penumpang.

Lebih penting, katanya, perkhidmatan RoRo di Don Sak beroperasi dari kira-kira jam 5 pagi hingga 7 malam, membolehkan kenderaan bergerak ke pulau itu hampir sepanjang hari tanpa terlalu terikat kepada jadual pelepasan yang terhad.

Omar berkata, keadaan itu menunjukkan perbezaan pendekatan dalam membangunkan hubungan laut antara sebuah pulau pelancongan dengan tanah besar.

“Ini bukan soal meniru Koh Samui. Ini soal menyediakan infrastruktur yang sepadan dengan keperluan sebuah ekonomi pulau moden,” katanya.

Beliau turut membangkitkan kos berulang kerja pengerukan di Kuala Kedah dan Kuala Perlis.

Menurut Omar, pada 2022 kerajaan pernah mengakui membelanjakan kira-kira RM50 juta setiap dua tahun bagi kerja pengerukan di kedua-dua lokasi berkenaan, selain pernah mempertimbangkan lokasi baharu sebagai penyelesaian jangka panjang.

“RM50 juta setiap dua tahun ialah kos berulang untuk merawat satu gejala. Kita sudah lama membayar harga sebuah sistem, tanpa pernah memilikinya,” katanya.

Beliau berkata, masalah pemendapan di kawasan muara menyebabkan kerajaan berdepan keperluan untuk terus mengurus kedalaman alur pelayaran, sedangkan persoalan lebih besar mengenai sistem perhubungan laut Langkawi masih belum diselesaikan.

Dalam pada itu, Omar berkata kerajaan sudah mempunyai beberapa pendekatan termasuk menaik taraf terminal sedia ada, meneruskan kerja pengerukan atau mempertimbangkan lokasi baharu seperti Kuala Sanglang.

Namun, katanya, keputusan mengenai lokasi tidak sepatutnya mendahului penetapan sistem yang mahu dibangunkan.

“Lokasi tidak boleh menentukan tahap cita-cita kita,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan Kerajaan Persekutuan bersama Kerajaan Kedah menjalankan kajian menyeluruh bagi mewujudkan Koridor Perhubungan Laut Langkawi untuk tempoh sekurang-kurangnya 30 tahun.

Kajian itu, katanya, perlu menilai keupayaan operasi yang seboleh-bolehnya bebas daripada kekangan pasang surut, mengurangkan keperluan pengerukan, mengendalikan feri penumpang berkelajuan tinggi dan RoRo serta mempunyai kapasiti mencukupi untuk kereta, bas, lori dan kenderaan perdagangan.

Kuala Kedah, Kuala Perlis dan Kuala Sanglang juga perlu dinilai berdasarkan faktor hidrografi, kejuruteraan, jarak, akses jalan raya serta kos sepanjang hayat.

“Jangan mulakan dengan persoalan di mana hendak membina jeti. Mulakan dengan menentukan Langkawi yang mahu kita bina untuk 30 tahun akan datang.

“Tetapkan tahap perhubungan yang diperlukan untuk mencapainya. Kemudian bina infrastruktur yang mampu menyediakannya,” katanya.

Omar berkata, hampir keseluruhan kegiatan ekonomi Langkawi bergantung kepada hubungan dengan tanah besar termasuk bekalan makanan, minuman, peralatan hotel, barangan pasar raya, bahan binaan dan keperluan harian penduduk.

Pada masa sama, sistem RoRo yang lebih kerap dan mudah juga boleh membuka Langkawi kepada pasaran pelancongan domestik dengan membolehkan keluarga dari negeri-negeri lain membawa kenderaan sendiri ke pulau berkenaan.

“Langkawi memerlukan lapangan terbang antarabangsa yang baik. Kita sudah memilikinya.

“Langkawi juga memerlukan pintu masuk laut yang setara dengan kedudukannya sebagai destinasi pelancongan antarabangsa. Kita belum memilikinya,” katanya.

Omar menggesa Kerajaan Negeri, Kerajaan Persekutuan, Kementerian Pengangkutan dan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) melihat isu berkenaan sebagai projek pembangunan ekonomi nasional dan bukan sekadar projek menaik taraf jeti.

“Langkawi tidak boleh memasuki tiga dekad akan datang dengan sistem perhubungan laut yang terus dibatasi oleh masalah tiga dekad yang lalu.

“Kita mempunyai pilihan: terus mengorek alur, menambah perjalanan dan mengurus kekangan sedikit demi sedikit, atau membina satu sistem yang menyelesaikan masalah itu untuk satu generasi.

“Pilihan saya jelas. Langkawi memerlukan sebuah lebuh raya laut. Sudah tiba masanya kita membinanya,” katanya. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share