
KUALA LUMPUR | 26 Ogos 26 — Semua pihak diseru supaya tidak terburu-buru membuat kesimpulan berhubung isu Tabung Haji, sebaliknya menilai fakta dan pandangan daripada pelbagai sudut sebelum membentuk pendirian.
Seruan itu dibuat Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selepas mengikuti Musyawarah Nasional 2.0 bertajuk “Realiti & Persepsi: Jangan Mempolitikkan Tabung Haji” yang menghimpunkan perbincangan mengenai isu serta polemik berkaitan institusi berkenaan.
Menurut Zahid, perbezaan pandangan tidak seharusnya menghalang perbincangan secara matang, lebih-lebih lagi apabila melibatkan institusi yang dekat dengan umat Islam dan memikul amanah jutaan rakyat Malaysia.
“Jangan terlalu cepat membuat kesimpulan hanya berdasarkan apa yang kita dengar atau persepsi yang terbentuk. Duduklah semeja, dengarkan pandangan, teliti fakta dan fahami sesuatu perkara daripada setiap sudut sebelum kita membentuk pendirian,” katanya.
Dalam sesi berkenaan, bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Dr Madinah Mohamad turut menjelaskan bahawa perbezaan angka audit Tabung Haji tidak semestinya menunjukkan kegagalan audit, kerana laporan Jabatan Audit Negara dan semakan PwC menggunakan skop serta metodologi berbeza.
Madinah turut menegaskan bahawa beliau dan pasukannya tidak menemui bukti kecurian atau penyelewengan ketika audit Tabung Haji dijalankan.
Zahid berkata Musyawarah Nasional perlu terus menjadi ruang yang menyuburkan budaya perbincangan berasaskan fakta dan kefahaman, bukan persepsi atau kepentingan politik.
“Kita mungkin tidak sentiasa mempunyai pandangan yang sama, tetapi perbezaan tidak seharusnya menghalang kita daripada berbicara secara matang dan mencari titik kefahaman,” katanya. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.