
PUTRAJAYA | 13 Ogos 26 – Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Kerajaan Negeri Kedah untuk mendapatkan kebenaran merayu berhubung keputusan yang membatalkan tindakan kerajaan negeri menghentikan pengeluaran dan pembaharuan lesen perniagaan premis perjudian di negeri itu.
Panel tiga hakim yang dipengerusikan Datuk Rhodzariah Bujang, bersama Datuk Collin Lawrence Sequerah dan Datuk Azmi Ariffin, membuat keputusan tersebut secara sebulat suara.
Mahkamah turut memerintahkan Kerajaan Negeri Kedah membayar kos RM50,000 kepada enam responden yang terdiri daripada pengendali syarikat pertaruhan.
Dalam keputusannya, Rhodzariah berkata kerajaan negeri gagal memenuhi ambang yang ditetapkan di bawah Seksyen 96(a) Akta Mahkamah Kehakiman 1964 bagi membolehkan kebenaran merayu diberikan.
“Kami menolak permohonan rayuan itu kerana tidak yakin bahawa ambang tinggi di bawah Seksyen 96(a) telah dipenuhi,” katanya.
Menurut beliau, isu bidang kuasa yang dibangkitkan kerajaan negeri dalam permohonan berkenaan juga tidak pernah dikemukakan di hadapan mahkamah pada peringkat terdahulu.
Kes itu berkait dengan keputusan Kerajaan Negeri Kedah pada 2022 untuk tidak lagi mengeluarkan atau memperbaharui lesen premis perjudian di negeri berkenaan.
Tindakan tersebut kemudian dicabar beberapa syarikat pengendali perjudian di Mahkamah Tinggi Alor Setar atas alasan kerajaan negeri tidak mempunyai bidang kuasa untuk menghalang pengeluaran dan pembaharuan lesen berkenaan.
Mahkamah Rayuan pada 12 Disember 2025 menolak rayuan Kerajaan Negeri Kedah dengan keputusan majoriti 2-1 dan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang memihak kepada pengendali syarikat pertaruhan.
Kerajaan negeri kemudiannya memohon kebenaran untuk membawa perkara itu ke Mahkamah Persekutuan.
Dengan permohonan tersebut kini ditolak, keputusan Mahkamah Rayuan berhubung tindakan menghentikan pengeluaran dan pembaharuan lesen premis perjudian itu kekal berkuat kuasa. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.