Falsafah Perjuangan Wawasan Negara

“Demi untuk menjalankan usaha menyeru kepada kebaikan dan kesejahteraan, maka dengan ini ditubuhkan PARTI WAWASAN NEGARA sebagai wadah perjuangan rakyat Malaysia yang menjadi cerminan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara serta demokrasi yang matang, dalam rangka membina Malaysia yang lebih baik berteraskan gagasan Konsensus Nasional Baharu dengan tiga tonggak utama iaitu matlamat bersama, kemakmuran bersama dan tadbir urus berperikemanusiaan.”

Perenggan ini adalah Falsafah Perjuangan Parti Wawasan Negara (Wawasan Negara). Ia tercatat dalam perlembagaannya yang diluluskan Mesyuarat Khas Perwakilannya pada 7 Ogos lalu.

Falsafah perjuangan ini menjadi asas fundamental kepada 29 fasal perlembagaan tersebut. Fasal-fasal itu menterjemah falsafah tersebut menjadi objektif-objektif, keorganisasian, keahlian dan kepimpinan nasional, negeri-negeri, bahagian-bahagian dan cawangan-cawangan.

Idea-idea besar perlembagaan ini datang daripada Presidennya Datuk Seri Hamzah Zainudin. Ia kemudiannya ditulis jawatankuasa yang dianggotai Datuk Wan Saiful Wan Jan (Pengerusi), Khaliq Mehtab Mohd Ishaq, Zainol Aziz Mohamad dan Datuk Zulkifli Nordin.

Falsafah ini menunjukkan bahawa perjuangan Wawasan Negara adalah berasaskan nilai-nilai tinggi, prinsip-prinsip pemikiran mantap dan kerangka pembangunan komprehensif.

Ini terlihat daripada frasa-frasa yang membentuk falsafah tersebut.

Frasa “menyeru kepada kebaikan dan kesejahteraan” menjadi roh perjuangan Wawasan Negara. Ia merujuk amar makruf nahi mungkar (Ali ‘Imran: 104), iaitu menyeru kebaikan dan mencegah kemungkaran (enjoining good and forbidding evil).

Ia prinsip perjuangan sejagat, iaitu menegak kebenaran, keadilan dan kebahagiaan serta menentang kepalsuan, kezaliman dan kemusnahan.

Frasa “perjuangan rakyat Malaysia” bermaksud memperjuangankan kepentingan pertiwi mengatasi parti dan peribadi.

Dari segi pertiwi, ini parti berwajah Malaysia, iaitu mengikut komposisi demografi masyarakat majmuk yang hidup bersama dalam budaya damai. Ia mewakili seluruh rakyat dalam berkongsi peranan dan manfaat pembangunan.

Frasa “menjadi cerminan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara” bermakna parti ini menjadikan kedua-dua tonggak utama negara tersebut sebagai ‘perlembagaan hakiki’nya. Sebab itu ia diletakkan sebagai falsafah perjuangan parti, bukannya sekadar salah satu objektifnya sahaja.

Frasa “demokrasi yang matang” bermaksud parti ini ingin membangun politik baru dan demokrasi matang.

Politik baru bermakna politik ilmu, hikmah, bakti dan integriti serta menolak politik ampu/merapu, fitnah/serakah, manipulasi dan wang/rasuah. Manakala demokrasi matang merujuk demokrasi Malaysia yang berbilang kaum, moderat dan stabil.

Frasa “membina Malaysia yang lebih baik” bermaksud melakukan ‘gerakan reset’ dalam seluruh spektrum kehidupan. Apa yang salah, dibaiki; yang baik, ditambah nilai; yang rosak, diganti. Supaya rakyat menikmati kemajuan, kemakmuran dan kebahagiaan.

Frasa “berteraskan gagasan Konsensus Nasional Baharu dengan tiga tonggak utama” menunjukkan parti ini telah bersedia dengan kerangka pembangunan komprehensif.

Iaitu tonggak pertama: berkongsi matlamat bersama (common goals) untuk membangunkan negara yang lebih baik, tonggak kedua: menjana kekuatan ekonomi dan daya saing negara demi memastikan terhasilnya kemakmuran bersama (shared prosperity); dan tonggak ketiga: membentuk kerajaan yang mentadbir menggunakan prinsip tadbir urus berperikemanusiaan (compassionate governance).

Wawasan Negara komited menjadikankan falsafah perjuangan ini satu realiti. Demi rakyat!

Datuk Seri Saifuddin Abdullah ialah Ahli Parlimen Indera Mahkota dan Setiausaha Agung Parti Wawasan Negara.

Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili pandangan politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts

Perpaduan Melayu Dalam Lanskap Politik Baharu

Pelbagai inisiatif dan gagasan kini bergerak secara berasingan. Ahmad Zahid Hamidi, misalnya, mengangkat konsep “Rumah Bangsa” dalam kerangka UMNO, manakala Muhyiddin Yassin menonjolkan pendekatan tersendiri melalui gagasan Ikatan Prihatin Rakyat. 
Read More
Total
0
Share