
SHAH ALAM | 16 Ogos 26 — Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mendakwa usaha PAS menganjurkan program di Shah Alam berdepan halangan apabila lokasi yang telah ditempah didakwa dibatalkan, sambil mempersoalkan pendekatan politik kerajaan Selangor.
Berucap pada Himpunan Jentera Pilihan Raya PAS Selangor semalam, Sanusi mendakwa beberapa lokasi yang mahu digunakan untuk program PAS tidak diberikan ruang untuk disewa.
“Tuan-tuan, mereka berusaha nak buat himpunan di Shah Alam. Semua tempat tak mahu sewa. Booking semua batal. Tak bagi. Tuan-tuan nampak tak politik nilai mereka? Tak sokong mereka. Tempat pun tak boleh. Nak bayar duit pun tak mahu,, nilai kepala bapak hang” katanya.
Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah turut mengkritik Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dengan mendakwa pentadbiran negeri berkenaan tidak membawa banyak perkara baharu selain meneruskan dasar yang telah dimulakan kerajaan terdahulu.
“MB Selangor tu. Nilai. Rakyat Selangor ni ada 8 juta, tuan-tuan. Dia pun sambung hak Khalid Ibrahim buat dulu, ya. Hak benda baru tak ada. Yang dia tahu main golf,” katanya.
Sanusi turut mendakwa beliau menjadi sasaran serangan politik dan mempersoalkan tindakan pihak tertentu yang menurutnya memilih untuk membuat laporan polis berbanding berdepan hujah politik.
“Nampak tak depa target siapa tuan-tuan? Ni ceramah ni pun esok-esok repot polis, boleh jadi. Punya penakut, main politik pondan bawa mailah hujah,” katanya.
Beliau pada masa sama mencabar pihak yang tidak bersetuju dengan PAS supaya menjawab melalui ruang politik dan perbahasan terbuka.
“Buatlah ceramah balas. Buat podcast ka macam Rafizi tu,” katanya.
Sanusi kemudian mengalihkan serangan kepada bekas Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dan kemelut politik dalam PKR selepas pemilihan parti.
“Tuan-tuan, kesian Rafizi. Jadi timbalan presiden bertanding dalam parti. Bertanding riuh rendah tuan-tuan. Nak jawatan timbalan presiden PKR. Last last kalah. Kalah. Pasal dia lawan anak papa ku. Dia pun berhenti jadi menteri. Buat parti bersama Kancil,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan keadaan apabila pemimpin yang memenangi pertandingan jawatan dalam parti juga kemudiannya melepaskan jawatan.
“Yang menang dengan Rafizi tuan-tuan, duk letak jawatan. Gila tak gila,” katanya.
Sanusi berkata pertandingan jawatan Timbalan Presiden PKR sebelum ini mendapat perhatian luas apabila kedua-dua pihak berkempen di seluruh negara dan mengkritiknya dalam proses tersebut.
“Parti ni gila dah tuan-tuan. Bertanding riuh rendah satu negara. Bising pertandingan timbalan presiden PKR. Semua rakyat hari-hari tengok. Mereka pun buat road show merata, hentam Sanusi juga,” katanya.
Menurut Sanusi, beliau turut menjadi sasaran kritikan daripada beberapa pihak dalam PKR.
“Dua-dua puak tu hentam Sanusi. Nak tanding timbalan presiden PKR, hentam Sanusi. Saya tengok hari-hari tuan-tuan, Nurul pun kata kat abang, Rafizi pun kata kat abang juga,” katanya.
Mengakhiri serangannya, Sanusi mempersoalkan logik politik yang menyaksikan calon yang kalah melepaskan jawatan, manakala pihak yang menang juga kemudian berundur.
“Hak kalah berhenti, hak menang pun berhenti. Tak nak ya tuan-tuan. Politik apa? Nilai? Prestasi?” katanya. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.