Pimpinan Bahagian dan Armada-Srikandi BERSATU Nibong Tebal Sertai WAWASAN

NIBONG TEBAL | 22 Ogos 26 – Parti Wawasan Negara (WAWASAN) Pulau Pinang menerima kemasukan beramai-ramai bekas pimpinan dan ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Nibong Tebal yang mengambil keputusan meninggalkan parti itu dan menyertai WAWASAN.

Naib Presiden WAWASAN, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, penghijrahan itu melibatkan barisan Jawatankuasa Bahagian, kepimpinan serta ahli sayap Armada dan Srikandi, selain pimpinan dan ahli di peringkat cawangan seluruh Parlimen Nibong Tebal.

Beliau berkata, keputusan secara kolektif itu didorong krisis keyakinan akar umbi terhadap kepimpinan dan hala tuju Bersatu yang didakwa tidak lagi berfokus kepada aspirasi rakyat.

“Penyertaan ini membuktikan bahawa WAWASAN sentiasa terbuka menyediakan platform politik yang stabil, berintegriti dan berprinsip kepada mereka yang mahu berkhidmat demi rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Wan Saiful, kemasukan beramai-ramai itu turut memperkukuh jentera dan jaringan khidmat WAWASAN di peringkat akar umbi Nibong Tebal.

Katanya, parti itu mahu meninggalkan krisis politik dalaman dan menumpukan sepenuhnya tenaga kepada usaha membela kebajikan serta sosioekonomi penduduk tempatan.

“Fokus utama kita adalah menyatukan dan menguatkan jentera demi memberikan khidmat terbaik kepada rakyat Pulau Pinang,” katanya.

Perkembangan itu dilihat memberi suntikan kepada WAWASAN di Nibong Tebal, khususnya dari segi pengukuhan struktur organisasi dan jentera akar umbi menjelang persaingan politik akan datang.

Pada masa sama, ia memberi gambaran bahawa persaingan mendapatkan sokongan akar umbi dalam kalangan parti Melayu di Pulau Pinang semakin berkembang dengan kemunculan WAWASAN sebagai platform baharu. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share