BN Mahu Tanding PRN Johor Solo Atau Bersama, Soal Amanah

KUALA LUMPUR , 21 Mei 25 – Kerajaan negeri Johor yang ditadbir Barisan Nasional (BN) mula terasa bahangnya apabila komponen kerajaan perpaduan menggesa mereka menyatakan secara terbuka sama ada bersedia menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 dalam pertandingan satu lawan satu bersama Pakatan Harapan (PH) atau memilih untuk bertanding secara berasingan.

Timbalan Pengerusi Amanah Johor, Sr Dzulkefly Ahmad berkata, pihaknya menyedari Umno dan BN dilihat tidak bersedia untuk mengadakan rundingan politik dengan PH di peringkat negeri, khususnya dalam usaha mengekalkan kerjasama demi kestabilan politik Johor.

“Kami menerima beberapa maklum balas daripada pimpinan Umno yang menunjukkan keengganan mereka untuk meneruskan perbincangan, terutama selepas kenyataan yang dibuat oleh Naib Pengerusi Amanah Johor, Dr Zuhan Zain baru-baru ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut menzahirkan rasa kesal apabila rakan-rakan dalam PH Johor tidak diraikan dalam pentadbiran kerajaan negeri, termasuk dalam soal pelantikan politik, yang kini menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan penyokong akar umbi.

Amanah berpendapat penglibatan PH dalam pentadbiran negeri penting demi kemajuan Johor.

“Jika Umno dan BN memilih untuk tidak melibatkan PH, maka cadangan untuk PH bertanding secara bersendirian pada PRN16 mula dipertimbangkan,” katanya.

Dzulkefly turut menegaskan bahawa Umno dan BN seharusnya bersikap terbuka terhadap kritikan, bukannya memberi reaksi melampau hingga memperlekehkan rakan dalam gabungan Kerajaan Perpaduan di peringkat persekutuan.

Sebelum ini, Dr Zuhan menyatakan kesediaan PH Johor untuk bertanding tanpa bergantung kepada kerjasama politik lain, malah yakin gabungan itu mampu meletakkan calon di semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor berdasarkan situasi semasa.

Dalam PRN Johor yang lalu, PH memenangi 13 daripada 56 kerusi DUN, manakala BN menguasai 40 kerusi dan Perikatan Nasional (PN) pula meraih tiga kerusi. @politiko.my

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share