Memahami Gambaran Besar Dalam Perjuangan

Gambaran besar (big picture) dalam perjuangan bermakna memahami, menyertai dan menggerakkan perjuangan itu secara keseluruhannya, iaitu dari sudut yang luas/makro, kerangka asas dan berjangka masa panjang, serta tidak membiarkan langkah-langkah kita terganggu, tergelincir atau terhenti akibat butiran-butiran, isu-isu dan masalah-masalah kecil, remeh dan peribadi.

Ia membolehkan kita melihat setiap satu perkara yang membentuk perjuangan itu, sama ada perkara fundamental atau ranting, iaitu dari segi kedudukannya dan peranannya masing-masing yang boleh bersendirian dan berpengkhususan tetapi saling berkaitan dan menguatkan antara satu dengan yang lain.

Gambaran besar memfokus pada matlamat akhir dan tidak diikat oleh gangguan-gangguan.

Ini tidak bermakna kita hanya mengambilkira perkara-perkara fundamental sahaja lalu mengenepikan perkara-perkara ranting. Apa yang dimaksudkan ialah mengutamakan dan memprioritikan perkara-perkara fundamental serta jangan menyebabkan perkara-perkara ranting mengganggu.

Contohnya, dalam politik, terdapat ‘3P’ iaitu Pertiwi, Parti dan Peribadi. Setiap satu ‘P’ ada perkara fundamental dan rantingnya. Tetapi, dalam menegakkan perjuangan, sudah tentulah Pertiwi diutamakan dan diprioritikan berbanding Parti dan Peribadi.

Bukan kerana Parti dan Peribadi tidak penting sehingga diketepikan. Tidak. Setiap peribadi yang menjadi ahli parti adalah penting. Setiap parti adalah penting. Dalam parti gabungan, setiap parti anggotanya adalah penting. Setiap satu itu ada kedudukannya dan peranannya. Masing-masing berkaitan dan menguatkan. Tetapi kalau ada parti dan/atau peribadi yang mengganggu, maka tinggallah!

Apabila gambaran besar difahami semua pihak, maka ia memudahkan sesuatu keputusan penting dan strategik dibuat, dilaksanakan dan diterangkan kepada khalayak dalaman ataupun luaran.

Setiap kita yang terjun dalam politik mungkin mempunyai pengalaman-pengalaman pahit getir, masalah dan kerisauan. Jika ada, maka kita harus menerimanya sebagai satu kesakitan yang pedih yang mengajar kita untuk menjadi lebih cekal dan tabah serta bangkit semula dan tidak membiarkannya mengganggu ketenangan, kesabaran dan kebijaksanaan kita dalam meneruskan perjuangan. Atau sekurang-kurangnya kita tidak menjadi batu penghalang perjuangan.

Gambaran besar dalam politik, khususnya dalam menghadapi pilihan raya, agak kompleks. Ia melibatkan perancangan parti, perundingan kerusi, pemilihan calon, penyususan jentera, kerja-kerja kempen dan sebagainya.

Dari segi strategi, lain pilihan raya lain caranya. Ini kerana ‘Lain padang, lain belalang’.

Pendekatan boleh berbeza. Tetapi momentum yang sedia ada perlu diteruskan dan disesuaikan dengan realiti tempatan. Iaitu demi mencapai gambaran besar yang lebih komprehensif dan substantif, iaitu memastikan masa depan yang lebih baik untuk rakyat dan negara.

Kita ambil ibrah daripada Perjanjian Hudaibiyah, iaitu perjanjian damai antara Rasulullah s.a.w. dengan musyrikin Mekah. Ramai sahabat tidak berpuas hati dengan syarat-syarat perdamaian yang dipersetujui Rasulullah s.a.w.

Tetapi, perjanjian tersebut telah membawa keamanan untuk tempoh masa yang diperlukan dan membuka jalan kepada pembukaan-semula Mekah yang diikuti selanjutnya dengan kejayaan dan keuntungan besar buat umat Islam.

Kesimpulannya, gambaran besar dalam perjuangan menuntut kita mempunyai pandangan sarwa (world view) yang tepat serta kebijaksanaan dan keberanian dalam mengorak langkah tanpa menghiraukan gangguan-gangguan.

Datuk Seri Saifuddin Abdullah ialah Ahli Parlimen Indera Mahkota dan Setiausaha Agung Parti Wawasan Negara.

Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili pandangan politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share