Sejarah Malaysia Masih Ditulis Dari ‘Kapal British Ke Darat’, Kata Prof Azmi

KUALA LUMPUR | 25 Ogos 26 – Sejarah Malaysia masih belum sepenuhnya bebas daripada kerangka pemikiran Eurocentric dan kolonial-sentrik, kata Pensyarah Kanan Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Madya Dr. Azmi Ariffin.

Menurutnya, walaupun banyak pembaharuan telah dilakukan dalam penulisan sejarah negara, masih terdapat kelompangan yang perlu diperbaiki, khususnya dalam melihat sejarah dari perspektif masyarakat tempatan dan peribumi.

Beliau berkata demikian ketika muncul dalam podcast Khabarnya baru-baru ini ketika membincangkan perkembangan penulisan dan pemahaman sejarah Malaysia.

Azmi berkata, persoalan mengenai perspektif sejarah sebenarnya sudah dibahaskan dalam kalangan ahli sejarah sejak 1960-an, termasuk oleh sarjana UKM, Profesor Zainal Abidin Abdul Wahid.

Menurutnya, Zainal Abidin pernah mengemukakan pandangan bahawa sejarah Tanah Melayu terlalu banyak dilihat daripada perspektif kapal-kapal British yang datang ke Semenanjung.

“Sejarah kita harus melihat dari daratan ke kapal, bukan kapal ke daratan,” katanya.

Menurut Azmi, persoalan yang timbul ialah sejauh mana pendekatan yang dibahaskan sejak lebih enam dekad lalu itu benar-benar telah diterapkan dalam penulisan sejarah Malaysia hari ini.

“Adakah tahun 2025-26 ini kita sudah berpuas hati, sudah mengubah dan sudah menyahut cabaran pada ketika itu?

“Sudah banyak perubahan dibuat ataupun kita masih lagi kekal pada tahap itu?” katanya.

Istilah kolonial masih diwarisi

Azmi memberikan penggunaan istilah “pemberontak” terhadap tokoh seperti Mat Kilau sebagai contoh bagaimana perspektif kolonial boleh terus diwarisi dalam penulisan sejarah.

Katanya, istilah tersebut mungkin munasabah daripada perspektif British yang melihat mereka sebagai pihak yang menentang pentadbiran kolonial.

Namun, persoalannya timbul apabila istilah dan kerangka yang sama terus digunakan dalam penulisan sejarah tempatan tanpa dinilai semula.

“Memang dalam catatan British dia sebut ‘pemberontak’. Jadi kita ambil sajalah.

“Mungkin saya rasa sudah jadi tabiat kita. Kita pegang istilah ini kerana British sebut,” katanya.

Menurutnya, isu tersebut bukan sekadar berkaitan istilah “pemberontak”, sebaliknya turut melibatkan penggunaan konsep dan istilah lain yang berasal daripada kerangka pemikiran Eropah.

Beliau turut memberikan contoh konsep feudalisme, yang menurutnya perlu dinilai dengan lebih kritikal sebelum digunakan untuk menerangkan struktur masyarakat dan politik tempatan.

Azmi berkata, konsep yang sesuai untuk menerangkan masyarakat Eropah tidak semestinya sesuai digunakan untuk memahami pengalaman sejarah masyarakat di Tanah Melayu.

Katanya, penggunaan istilah dan konsep kolonial secara berterusan boleh mempengaruhi cara masyarakat memahami sejarah sendiri.

“Bila kita guna konsep-konsep daripada Eropah, kita secara tidak langsung, secara automatik telah membuat satu perbandingan Eurocentric,” katanya.

Jangan melihat perjuangan tempatan melalui kaca mata penjajah

Azmi turut mempersoalkan kecenderungan sesetengah penulisan sejarah yang terlalu menekankan sebab tertentu sehingga perjuangan tokoh tempatan menentang penjajah seolah-olah perlu mempunyai justifikasi tertentu sebelum diiktiraf sebagai satu bentuk perjuangan.

Mengambil contoh Mat Kilau, beliau berkata sekiranya penentangan berlaku kerana cukai atau tuntutan terhadap hak tertentu, perkara itu tidak seharusnya secara automatik menyebabkan perjuangan tersebut dilihat secara negatif.

“Kalau mereka lawan kerana cukai, itu betul.

“Nasionalisme adalah perjuangan kemerdekaan. Kadangkala sebab dia kena cukai,” katanya.

Menurut Azmi, kepentingan peribadi dalam sesuatu perjuangan juga tidak semestinya menafikan nilai perjuangan tersebut, selagi ia tidak melibatkan penindasan atau perampasan hak orang lain.

Beliau melihat masalah yang lebih besar ialah apabila masyarakat tempatan yang menentang kuasa kolonial digambarkan secara negatif, sedangkan perspektif dan tindakan pihak penjajah pula menjadi kerangka untuk memahami sejarah tersebut.

“Dalam konteks kita ini, kita seolah-olah mengesampingkan British ini sebagai elemen yang sepatutnya kita perlihatkan sebagai buruk dan negatif, tapi kita tekankan tentang masyarakat peribumi yang lawan penjajah, dia jadi negatif,” katanya.

Azmi sebelum ini juga mempunyai rekod akademik dalam mengkaji kesan Eurocentrism terhadap gambaran sejarah masyarakat Melayu, termasuk bagaimana kerangka tersebut boleh menghasilkan gambaran negatif atau mengelirukan mengenai masyarakat peribumi.

Bagi Azmi, penilaian semula terhadap sejarah bukan bermaksud menolak kepelbagaian pengalaman masyarakat Malaysia, sebaliknya memastikan sejarah negara tidak terus ditafsirkan melalui kaca mata kuasa kolonial.

Persoalan yang akhirnya perlu dijawab, katanya, ialah sama ada Malaysia hari ini benar-benar telah membina naratif sejarahnya sendiri — atau masih melihat sejarah negara dari “kapal British ke darat.” @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts

NGO Nasihat Muhyiddin Berehat, Tumpu Kes Mahkamah

Presiden Perkasa Syed Hassan Syed Ali berkata, pertubuhan itu berpandangan, wajar untuk Muhyiddin mencontohi Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang berehat daripada jawatan Presiden Muda bagi menghadapi pertuduhan terhadapnya di mahkamah.
Read More
Total
0
Share